Peja sasar tarik pengundi muda Tambun guna media sosial

Peja sasar tarik pengundi muda Tambun guna media sosial

Bekas Ahli Parlimen Tambun itu berkata, pengundi muda kumpulan sangat penting dalam menentukan hala tuju negara, jadi media sosial amat penting untuk mendekati golongan itu.

Ahmad Faizal Azumu yang berdepan saingan empat penjuru di Tambun, yakin pengundi lebih selesa memilih calon tempatan.
IPOH:
Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tambun, Ahmad Faizal Azumu akan menggunakan media sosial sebaik mungkin bagi menarik pengundi muda menunaikan tanggungjawab mereka pada 19 Nov ini.

“Kita akan kempen pastikan pengundi muda menggunakan hak mereka untuk lebih bertanggungjawab dan keluar mengundi…itu penting.

“Namun, pada masa sama, mereka juga kumpulan yang sangat penting dalam menentukan (hala tuju negara), jadi tentunya media sosial amat penting untuk kami dekati golongan muda,” katanya selepas proses penamaan calon Parlimen Tambun di Dewan Seri Kledang Institut Latihan Perindustrian Ipoh.

Tambun menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), PN, Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

Mengenai pertembungan nama besar di Parlimen Tambun kali ini, termasuk Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, Faizal yakin pengundi lebih selesa memilih calon tempatan.

“Calon tempatan lebih dikenali, nama besar juga dikenali, tapi saya yakin rakyat dan pengundi Tambun lebih mendambakan calon (tempatan) yang lebih dikenali kerana mereka nak mengadu permasalahan dan sebagainya.

“Masing-masing ada peluang adil, terpulang kepada kami untuk menjalankan kempen dan kami harap dapat jalankan kempen dengan baik dan penuh berhemah,” katanya.

Pada PRU14, Faizal memenangi kerusi Tambun dengan majoriti 5,320 undi, menewaskan calon BN, Ahmad Husni Hanadzlah dan calon PAS, Ibrahim Zakaria.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.