Jadi calon bebas, Tian Chua bersedia hadapi akibat

Jadi calon bebas, Tian Chua bersedia hadapi akibat

Bekas naib presiden PKR yang bertanding di Parlimen Batu itu berkata, semangatnya sentiasa bersama parti itu dan PH.

Bekas naib presiden PKR Tian Chua bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Batu, menentang penyandangnya P Prabakaran.
PETALING JAYA:
Bekas naib presiden PKR Tian Chua bersedia menghadapi sebarang bentuk tindakan terhadap dirinya susulan keputusannya bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Batu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Parti ini, saya mempunyai ikatan emosi yang kuat (dengannya). Saya sayang dan menyokong semua pemimpin PKR walaupun perbezaan dalaman yang kita ada,” katanya menurut Malaysiakini.

“Saya sedar di kawasan Batu ini, saya bukan sebahagian daripada senarai calon PKR (untuk PRU15). Tetapi semangat saya sentiasa bersama Pakatan Harapan (PH) dan PKR,”

Tian Chua bertanding sebagai calon bebas selepas PH meletakkan penyandangnya, P Prabakaran untuk mempertahankan kerusi itu.

Buat masa ini, kata Tian Chua, fokusnya adalah untuk menewaskan BN dan memenangi pilihan raya, sambil memberi jaminan untuk menyekat kemaraan “kleptokrat”.

Tian Chua turut menegaskan beliau belum keluar daripada PKR.

“Peranan saya di sini (sebagai calon bebas) adalah untuk memastikan kita tidak mengambil risiko kehilangan Batu kepada lawan PKR,” katanya.

Katanya, PKR menguasai kawasan itu lebih 20 tahun sejak memenanginya pada PRU 2008, tetapi dengan “keadaan semasa”, perjuangan untuk mempertahankannya semakin sukar dengan persaingan sengit, jentera BN dan gabungan pihak yang “menentang PKR”.

“Komposisi Batu juga banyak berubah, daripada 70,000 pengundi kepada lebih 100,000 pengundi. Demografi juga berubah, dengan peningkatan pengundi Melayu.

“Dengan semua faktor ini, kami melihat penyandangnya terdedah kepada kekalahan,” katanya.

Dalam pada itu, di Ipoh, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, mana-mana ahli parti yang bertanding bebas pada PRU15 secara automatik akan dipecat daripada parti.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Tian Chua bertanding atas tiket bebas bagi kerusi Parlimen Batu hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.