
“Beliau mesti sanggup untuk menanggung akibat daripada tuduhan-tuduhan liar yang beliau buat. Saya harap Raja Petra mempunyai bukti atau dokumen untuk mengemukakan tuduhan itu.
“Jika tidak, saya akan mengemukakan saman malu kepada beliau dan saya akan meminta peguam saya mengambil tindakan undang-undang,” katanya dalam sidang media di kediamannya di Kampung Sungai Nipah Darat di sini.
Zahid menyifatkan dakwaan itu sebagai tuduhan liar dan tidak berasas.
“Maka, saya bersetuju dengan kenyataan ketua pesuruhjaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang akan melakukan siasatan terhadap perkara itu kerana jelas tuduhan Raja Petra itu bukan saja tiada kredibiliti, tetapi juga tidak mempunyai asas.”
Rabu lalu, FMT melaporkan SPRM menemui Raja Petra berhubung dakwaannya bahawa Zahid menerima sogokan USD20 juta (kira-kira RM67 juta) berkaitan projek LCS.
Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki berkata, agensi itu akan membenarkan Raja Petra mencadangkan lokasi pertemuan seperti yang dicadangkan penulis blog itu dalam video di laman sesawangnya.
Raja Petra mendakwa bekas timbalan perdana menteri itu menerima wang itu menerusi lapan bayaran secara berperingkat antara 2012 dan 2013, di mana urus niaga itu dipermudahkan melalui pengurup wang di Singapura serta Malaysia.
Beliau turut mendakwa mempunyai dokumen dan bukti mengaitkan Zahid dengan skandal itu, serta menyampaikan jemputan kepada SPRM ke UK untuk bertemunya bagi menyerahkan dokumen terbabit.
Projek LCS di bawah penelitian Parlimen kerana tidak menghantar enam kapal mengikut kontrak. Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya mendapati tiada sebuah pun kapal yang siap setakat ini, walaupun kerajaan sudah membayar RM6.08 bilion.