Warisan pecah undi di kerusi PH bantu siapa, soal Nga

Warisan pecah undi di kerusi PH bantu siapa, soal Nga

Pengerusi DAP mendakwa kehadiran Warisan adalah hanya untuk memecah undi bukan kerana mahu membentuk kerajaan.

Nga Kor Ming berkata jika PH berjaya membentuk kerajaan perkara utama akan disyorkan kepada DUN Perak adalah meluluskan undang-undang anti lompat parti.
KAMPAR:
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mendakwa kehadiran Warisan bertanding di kerusi yang dipertahankan Pakatan Harapan (PH) di Perak adalah dengan niat untuk memecah undi sahaja.

“Niatnya begitu jelas hanya datang untuk pecah undi. Untuk membantu siapa?..tetapi usaha licik ini pengundi dah boleh baca,” katanya pada sidang media selepas pelancaran bilik gerakan PH di Kampar.

Nga berkata, perkara itu boleh dilihat apabila parti berasal dari Sabah itu hanya meletakkan calon di 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja di mana tindakan itu tidak akan mengubah struktur pentadbiran kerajaan negeri akan datang.

“Parti Warisan di Sabah sendiri pun tak dapat jaga dan sekarang ini sekiranya dia benar berhasrat untuk tubuh kerajaan tetapi jumlah kerusi bertanding hanya 26 sahaja yang lebih pelik bin ajaib adalah semua kerusi yang disasarkan adalah yang telah dimenangi PH,” katanya.

Mengulas lanjut, Nga berkata jika PH berjaya membentuk kerajaan, itulah perkara utama yang akan disyorkan kepada DUN Perak agar meluluskan undang-undang anti lompat parti sebagai tanda menghormati mandat rakyat.

Katanya, selain yakin dengan kesetiaan calon yang dipertandingkan, beliau berkata DAP bagaimanapun tetap tegas berhubung isu pengkhianatan dalam parti.

“Saya yakin yang boleh dipilih sebagai calon tidak akan lompat parti, bagi kita senang, siapa lompat dia dianggap hilang keahlian, dia bukan lagi ahli DAP,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.