
Beliau berkata, antara calon itu ialah bekas senator mewakili masyarakat Orang Asli, Manolan Mohamad bagi DUN Kemayan, bekas ketua pegawai eksekutif Permodalan Negeri Selangor Bhd, Ahmad Omar (Sungai Lembing) dan bekas ketua penolong pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Mohd Afandi Abd Rani (Luit).
Timbalan Ketua PKR Bahagian Kuantan, Sim Chon Siang akan mempertahankan kerusi DUN Teruntum yang disandangnya sejak 2013 manakala Pegawai Khas ADUN, Semambu Chan Chun Kuang dipertaruhkan untuk mempertahankan kerusi DUN itu apabila penyandang DUN berkenaan, Lee Chean Chung diumumkan sebagai calon Parlimen Petaling Jaya.
“Kita membariskan calon daripada pelbagai latar belakang seperti golongan profesional, aktivis masyarakat dan bekas kakitangan kerajaan yang boleh memberi saingan. Kita sedar dengan cabaran tertentu yang perlu dihadapi terutamanya di kerusi melibatkan penyandang daripada Barisan Nasional (BN).
“Walaupun sukar, namun ia tidak mustahil kerana pengalaman kita menang di DUN Chini pada 1999 yang disifatkan sebagai kubu kuat BN walaupun dengan hanya majoriti lima undi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Amirudin berkata, pihaknya menjangkakan terdapat empat kerusi DUN yang berpotensi dimenangi pada PRU15, namun enggan mengulas lanjut.
Berdasarkan kedudukan semasa, PKR mempunyai dua kerusi di DUN Pahang iaitu Teruntum dan Semambu, manakala BN menguasai 25 kerusi, PAS (lapan) dan DAP (tujuh).
Ditanya mengenai calon menteri besar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) jika mereka berjaya membentuk kerajaan negeri buat kali pertama, Amirudin berkata masih terlalu awal untuk menentukannya walaupun setiap komponen PH Pahang mempunyai calon yang layak.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRU15 diadakan pada 19 Nov ini, dengan penamaan calon berlangsung esok sebelum disusuli pengundian awal pada 15 Nov ini.
Berikut adalah senarai bakal calon PKR bagi kerusi DUN Pahang yang akan bertanding di atas tiket PH:
- Jelai – Ismail Mohd Hussin
- Cheka – Rasid Muhamad
- Benta – Rizal Jamin
- Batu Talam – Shahuddin Abdul Rahman
- Damak – Mohamad Rafly Mohd Satar
- Semambu – Chan Chun Kuang
- Teruntum – Sim Chon Siang
- Inderapura – Fakhrul Anuar Zulkawi
- Sungai Lembing – Ahmad Omar
- Panching – Haslindalina Hashim
- Chini – Mohamad Yazid Che Mat
- Luit – Mohd Afandi Abd Rani
- Kuala Sentul – Amran Tahir
- Jenderak – Mohamad Hafez Harun
- Lanchang – Rosli Ismail @Ahmad
- Kemayan – Manolan Mohamad
- Bukit Ibam – Barirah Mohd Mokhtar
- Muadzam Shah – Norlaily Forizad