Sindiket tumpas, pegawai imigresen dalang seludup warga asing ditahan

Sindiket tumpas, pegawai imigresen dalang seludup warga asing ditahan

Mereka menawarkan e-visa palsu kepada warga asing untuk memasuki Malaysia sebagai pelancong.

Antara warga asing yang ditahan dalam operasi imigresen di klia2 semalam.
PETALING JAYA:
Imigresen menumpaskan sindiket penyeludupan warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) yang didalangi seorang pegawai jabatan itu, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud, berkata seorang pegawai imigresen berusia 31 tahun ditahan.

“Selain itu, turut ditahan enam lelaki warga India berusia antara 20 hingga 42 tahun dan cuba memasuki negara ini untuk bekerja tanpa pas yang sah serta mengelakkan bayaran levi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah menawarkan e-visa palsu kepada warga asing berkenaan untuk memasuki Malaysia sebagai pelancong.

Katanya, sindiket itu akan menyediakan kemudahan tempat tinggal, program lawatan dan sejumlah wang bagi menunjukkan seolah-seolah mereka adalah pelancong tulen.

“Pegawai imigresen yang bersubahat pula akan menurunkan cop ke atas pasport tanpa merekodkan perjalanan warga asing tersebut ke dalam sistem MyImms,” katanya.

Khairul berkata, berdasarkan maklumat risikan, sindiket itu dipercayai mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM6,000 kepada setiap pelawat.

Katanya, mereka disyaki beroperasi sejak pembukaan sempadan pada 1 April lalu.

“Semua warga asing berkenaan ditahan dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966, kerana cuba memasuki Malaysia secara tidak sah.

“Sementara pegawai imigresen itu disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, setelah perintah reman diperoleh,” katanya.

Menurutnya, operasi bermula pada 7.45 malam semalam melibatkan pasukan daripada bahagian perisikan dan operasi khas, dengan kerjasama pegawai imigresen klia2.

“JIM akan terus meningkatkan usaha perisikan dan operasi bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

“Jabatan ini tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak walaupun ia melibatkan pegawai imigresen sendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.