Kami tak mahu jadi alat politik, kata Badan Peguam

Kami tak mahu jadi alat politik, kata Badan Peguam

Presidennya Karen Cheah berkata badan itu memutuskan tidak menjadi sebahagian daripada pasukan petugas khas yang menyiasat memoir Tommy Thomas supaya tidak digunakan sebagai alat politik.

Badan Peguam juga bimbang dipanggil sebagai saksi sekiranya ada saman difailkan susulan laporan oleh pasukan petugas khas itu.
PETALING JAYA:
Badan Peguam memutuskan tidak mahu menjadi sebahagian daripada pasukan petugas khas yang menyiasat memoir bekas Peguam Negara Tommy Thomas, kerana tidak mahu digunakan sebagai alat politik.

Badan Peguam juga bimbang dipanggil sebagai saksi sekiranya ada saman difailkan hasil laporan yang dikeluarkan pasukan itu.

“Keputusan itu dibuat oleh Majlis Peguam pada Februari 2022, sebelum laporan pasukan petugas khas itu dinyahklasifikasikan, dan bekas peguam negara Tommy Thomas memfailkan saman terhadap pasukan berkenaan,” kata presidennya, Karen Cheah dalam kenyataan.

Cheah berkata pendirian Badan Peguam berhubung perkara berkenaan adalah wajar susulan laporan itu dinyahklasifikasikan, serta saman yang kemudian difailkan Thomas.

Kenyataan Cheah itu beberapa hari selepas menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyelarnya kerana mempersoalkan sikap tidak berpihak pasukan petugas khas itu sebagai “tidak berasas dan tidak tepat”.

Wan Junaidi berkata, mempersoalkan sikap tidak berpihak pasukan petugas khas itu dalam pada ia menolak menyertainya “tidak seharusnya menjadi cara Badan Peguam dalam menangani isu seumpama ini”.

Cheah berkata tidak tepat untuk mengatakan Majlis Peguam tidak berminat menyertai seperti dinyatakan dalam laporan pasukan petugas khas berkenaan.

Malah, katanya, tidak tepat juga untuk mengatakan badan itu “gagal” atau “enggan” terlibat, tanpa mempertimbangkan konteks dan punca di sebaliknya.

“Menolak daripada menyertai pasukan petugas khas itu bukan penghalang untuk Badan Peguam menyuarakan pandangannya terhadap kesahihan pasukan berkenaan,” kata Cheah.

Pasukan petugas khas itu ditubuhkan oleh Jemaah Menteri pada Disember lalu, untuk menyiasat dakwaan campur tangan kehakiman, pendedahan rahsia kerajaan, salah guna kuasa, kecuaian profesional, dan kenyataan berunsur hasutan dalam buku Thomas, “My Story: Justice In The Wilderness” yang diterbitkan pada Januari 2021.

Laporan itu dinyahklasifikasikan, seterusnya Thomas memfailkan saman terhadap pasukan berkenaan serta kerajaan kerana mendakwa penerbitan laporan berkaitan memoir itu melanggar undang-undang dan haknya mengikut Perlembagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.