PBM tubuh panel disiplin tangani ahli digantung

PBM tubuh panel disiplin tangani ahli digantung

Larry Sng berkata, memandangkan JPPM sudah membuat kenyataan rasmi berhubung statusnya sebagai presiden PBM, semua pihak harus menghormatinya dan bersatu menghadapi PRU15.

Timbalan Presiden PBM, Wong Judat akan mengetuai jawatankuasa disiplin lima anggota. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Parti Bangsa Malaysia (PBM) menubuhkan jawatankuasa disiplin untuk meneliti tindakan 13 ahlinya yang digantung, termasuk Zuraida Kamaruddin yang mendakwa dirinya presiden parti, walaupun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) mengesahkan Larry Sng masih memegang jawatan itu.

Sng berkata, Timbalan Presiden PBM, Wong Judat akan mengetuai jawatankuasa disiplin lima anggota itu.

“Ini bukannya misi memburu, tetapi untuk parti mara dan bersedia hadapi pilihan raya umum kerana kita mempunyai masa sangat singkat,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, memandangkan JPPM sudah membuat kenyataan rasmi berhubung statusnya sebagai presiden PBM, semua pihak harus menghormatinya dan bersatu menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Semalam, Zuraida menegaskan beliau masih presiden PBM, ketika ditanya berhubung perkara itu pada sidang media di Ampang.

Kelmarin, Sng menggantung 13 Ahli Majlis Tertinggi PBM, termasuk Zuraida, Haniza, Daroyah Alwi, Rahimah Majid, Sathiskumar Govindaraju, Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage, Abdul Aziz Abdul Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Muniraa Abu Bakar, Chua Lian Chye, Roger Tan dan Albakri Salim.

Ditanya mengenai status watikah Zuraida untuk PRU15, Sng berkata, beliau tiada perasaan tidak menyenangkan terhadapnya dan berharap dapat menyelesaikan pertikaian itu secara baik demi kepentingan parti.

“Kami mahu mengetepikan pertikaian itu dan fokus pada PRU15. Untuk menang, kita perlu berhenti bergaduh sesama sendiri, tidak kira mereka menyokong Zuraida atau sebaliknya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.