
Rayuannya menyusul sehari selepas DAP mengumumkan Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff akan bertanding di kerusi itu yang dimenangi PAS sebelum ini.
Phahrolrazi berkata, DAP tidak popular dalam kalangan pengundi Melayu di Kedah, walaupun parti itu melakukan yang terbaik untuk membantu komuniti Islam di Pulau Pinang.
“Kita maklumkan apa yang kerajaan DAP di Pulau Pinang buat untuk Islam seperti bantuan kepada sekolah tahfiz, tapi (kami) tidak dapat memecahkan (persepsi negatif),” katanya dalam sidang media.
Menurutnya, PH tidak seharusnya menggunakan Jerai sebagai medan “uji kaji” dengan meletakkan calon DAP di kawasan majoriti Melayu kerana fokus pilihan raya kali ini adalah memenangi kerusi sasaran di negeri itu.
“Kami nak pastikan PH menang dan pastikan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri. Itu yang penting,” katanya.
Phahrolrazi mengadakan sidang media itu selepas Amanah mengumumkan beliau dipecat daripada parti.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dilaporkan berkata, Phahrolrazi dipecat kerana parti tidak dapat menerima tindakannya menggesa ahli Amanah Kedah memboikot pilihan raya.
Khalid berkata, pemimpin parti boleh mempunyai pandangan berbeza mengenai strategi parti dan pengagihan kerusi, tetapi mereka tidak patut menggesa pemimpin dan ahli parti memboikot pilihan raya, umpama tindakan sabotaj.