Amanah gugur Hanipa pada PRU15

Amanah gugur Hanipa pada PRU15

Bekas senator, Aiman Athirah akan menggantikan bekas timbalan menteri itu di kerusi Parlimen Sepang.

Hanipa Maidin mempertahankan kerusi Parlimen Sepang dengan majoriti 18,705 undi, selepas menewaskan calon Barisan Nasional dan PAS pada PRU14. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Amanah tidak mencalonkan penyandang kerusi Parlimen Sepang, Hanipa Maidin pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, parti itu mahu memberi peluang kepada muka baharu.

“Ini tidak bermakna prestasi mereka tidak baik,” katanya dalam sidang media hari ini.

Hanipa akan digantikan Ketua Wanita Amanah yang juga bekas senator, Aiman Athirah al-Jundi di Sepang.

Hanipa memenangi Parlimen Sepang dengan majoriti 1,142 undi dalam saingan empat penjuru pada PRU13 dan berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 18,705 undi, selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan PAS pada PRU14.  

Turut digugurkan ialah Hasan Bahrom (Tampin) dan Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat).

Amanah juga tidak akan mencalonkan Anuar Mohd Tahir untuk mempertahankan kerusi Temerloh kerana beliau dikatakan tidak sihat. Oleh itu, Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda akan menggantikannya.

Sementara itu, ADUN Taman Templer (Selangor), Sany Hamzan akan menggantikan Hasanuddin di Hulu Langat, manakala ADUN Permatang Pasir (Pulau Pinang), Faiz Fadzil akan bertanding di Parlimen Tampin.

Sementara itu, penyandang yang akan terus mempertahankan kerusi mereka ialah Presidennya, Mohamad Sabu (Kota Raja), Timbalannya Salahuddin Ayub (Pulai), Naib Presiden Mahfuz Omar (Pokok Sena), Setiausaha Agung Dr Hatta Ramli (Lumut), Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dan Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar).

Khalid ke Titiwangsa

Khalid yang menyandang Parlimen Shah Alam akan beralih angin ke Parlimen Titiwangsa.

Beliau dijangka berdepan saingan Johari Ghani daripada BN dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada Perikatan Nasional.

Bekas pembantu Khalid, Azli Yusof pula akan menggantikannya bertanding di Shah Alam.

Berhubung pemecatan Pengerusi Amanah Kedah, Phahrolrazi Zawawi kerana mengingkari keputusan parti, Mohamad berkata, tindakan disiplin itu adalah proses “biasa” dalam setiap parti politik.

“Beliau boleh mengemukakan rayuan (terhadap pemecatan itu).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.