
Hakim Jamil Hussin berkata, pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Shafee.
Pada 13 Sept 2018, Shafee mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan terlibat dengan pengubahan wang haram, iaitu menerima hasil aktiviti haram menerusi cek milik Najib, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank Berhad milik Shafee.
Dia didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 Sept 2013, dan RM5.2 juta pada 17 Feb 2014.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Bhd, Taman Tunku, Bukit Tunku, di sini.
Shafee turut mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan terlibat dengan transaksi membabitkan hasil aktiviti haram, iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.
Dia didakwa tidak memasukkan pendapatan berjumlah RM4.3 juta diterima pada 13 Sept 2013, dan RM5.2 juta diterima pada 17 Feb 2014, dalam pulangan cukainya.
Wang itu diterima menerusi dua akaun AmIslamic Bank Berhad milik Najib, dan dimasukkan ke dua akaun CIMB Bank Berhad milik Shafee.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan LHDN Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 3 Mac 2015, dan 29 Jun 2015.