Saya enggan kerjasama dengan pasukan siasatan ‘tidak sah’, kata Thomas

Saya enggan kerjasama dengan pasukan siasatan ‘tidak sah’, kata Thomas

Tommy Thomas berkata penubuhan dan kewujudan pasukan petugas khas adalah tanpa asas undang-undang dan akan mewujudkan duluan yang bahaya.

Buku Tommy Thomas mencetuskan pelbagai kritikan dan menyebabkan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya.
PETALING JAYA:
Tommy Thomas berkata, beliau enggan bekerjasama dengan pasukan petugas khas yang diwujudkan kerajaan bagi menyiasat dakwaan dalam bukunya kerana mahu melindungi Pejabat Peguam Negara.

“Penubuhan dan kewujudan (pasukan petugas khas) adalah tanpa asas undang-undang dan akan mewujudkan duluan yang bahaya, merisikokan kebebasan Pejabat Peguam Negara, menyebabkan prejudis kepada penyandang dan bakal peguam negara,” katanya.

Thomas berkata demikian dalam satu suratnya kepada pasukan petugas itu bertarikh 5 Jan tahun ini.

“Penglibatan dan kerjasama saya akan mengesahkan pasukan ini dan atas sebab itu saya tidak berbuat demikian,” katanya.

Bekas peguam negara ketika Pakatan Harapan (PH) berkuasa membuat dakwaan itu dalam afidavit difailkan dalam samannya terhadap kerajaan dan lapan anggota pasukan petugas itu.

Thomas juga berkata, “beliau enggan dihakimi oleh rakannya” dan memberitahu pengerusi pasukan itu Fong Ju Chung, bekas peguam negeri Sarawak, berada di bawahnya dalam hierarki perkhidmatan awam.

Dua lagi anggota adalah lebih muda daripadanya dalam Majlis Peguam.

Affidavit Thomas turut menyatakan pasukan petugas itu tiada asas perundangan.

“(Anggotanya) tidak dilantik mengikut undang-undang bertulis dan ia secara langsung satu badan yang tidak mengikut undang-undang dan tidak sah. Atas sebab itu, mereka secara peribadi bertanggungjawab terhadap tindakan, kesilapan dan kelakuan mereka.

“Semua tindakan dan siasatan dibuat, dan tindakan lain atau langkah diambil (pasukan tindakan khas) tidak disokong oleh sebarang undang-undang bertulis, dan atas sebab itu ia tidak mengikut undang-undang dan tidak sah,” katanya.

Dakwa Thomas, atas faktor itu, siasatan pasukan itu terhadap tindakannya, penemuan dan cadangan adalah tanpa asas undang-undang dan “ultra vires” (tindakan melampaui undang-undang).

Katanya, pasukan petugas khas itu tiada status Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dilantik Yang di-Pertuan Agong seperti tertakluk pada Akta Suruhanjaya Diraja 1950.

“Mengikut prosedur RCI, individu yang disiasat wajib hadir dan diwakili peguam sepanjang siasatan,” katanya.

Katanya, itu adalah proses siasatan, jadi ia “terbuka dan telus” berbeza dengan “pasukan petugas khas yang tidak mengikut undang-undang” yang tiada kuasa untuk memiliki, mengarah atau mencadangkan kepada pendakwa raya atau agensi siasatan untuk menyiasat sebarang salah laku.

Thomas meminta Mahkamah Tinggi mengisytiharkan pasukan petugas khas itu sebagai badan tidak sah dengan tidak memiliki kuasa untuk menjalankan tugas diberi kerajaan.

Beliau juga mahu satu pengisytiharan bahawa laporan yang dikeluarkan pasukan itu sebagai satu “dokumen tidak sah” dan “tidak mengikut undang-undang”.

Thomas juga mendakwa penerbitan laporan itu merosakkan reputasinya dan melanggar hak perlembagaannya.

Beliau juga mendakwa laporan itu melanggar Seksyen 499 (merosakkan reputasi) dan Seksyen 500 (jenayah fitnah) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (kandungan di internet).

Buku “My Story: Justice in the Wilderness”, diterbitkan pada Januari tahun lalu. Ia menceritakan perjalanan awal kehidupan, pengamal undang-undang dan sebagai peguam negara antara Jun 2018 hingga Feb 2020.

Kandungannya yang kontroversi mencetuskan kritikan pelbagai pihak termasuk Peguam Negara Idrus Harun, peguam, ahli politik dan orang awam, menyebabkan beberapa laporan polis dibuat.

Pada 8 Okt lalu, Jemaah Menteri menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi membuat kajian awal mengenai pendedahan dibuat Thomas dalam buku itu.

Pasukan itu bersidang antara 23 Dis tahun lalu dan 25 Ogos.

Pada 30 Sept, laporan itu dikeluarkan dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Tidak lama selepas itu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa Thomas akan disiasat atas beberapa kesalahan yang dikenal pasti dalam laporan itu.

Laporan itu didedahkan kepada awam pada 21 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.