
Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 3.49 petang 18 Okt lalu.
Katanya, siasatan mendapati terdapat kemusnahan teruk di sebuah kabin kontena kosong yang dijadikan stor di bahagian belakang dalam pekarangan kediaman itu.
“Berdasarkan hasil siasatan, ia membawa penemuan beberapa sampel dan bahan bukti dipercayai digunakan untuk menghasilkan letupan.
“Polis mengesyaki kejadian itu mempunyai unsur khianat yang menggunakan bahan letupan. Semua sampel yang ditemui itu sudah dihantar ke makmal bagi tujuan analisa,” katanya dalam kenyataan.
Wan Hassan berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan menggunakan bahan letupan terhadap sebuah rumah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda.
Katanya, polis melakukan siasatan terperinci untuk mengenal pasti suspek terbabit dalam kejadian itu.
Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi.
“Polis menyeru orang yang mengetahui kejadian ini tampil memberi maklumat kepada Asisten Superintendan Che Intan Subri di talian 013 9329614 atau 04 7321222,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan bahagian pintu pagar dan tembok hadapan kediaman rasmi menteri besar Kedah disimbah cat merah dan biru pada 17 Okt lalu.