Tiada kompromi modifikasi kenderaan untuk kempen PRU15, tegas JPJ

Tiada kompromi modifikasi kenderaan untuk kempen PRU15, tegas JPJ

Ketua Pengarahnya, Zailani Hashim berkata tidak ada 'lesen besar' untuk mana-mana parti mengubah suai kenderaan pada musim pilihan raya umum (PRU) ini.

Zailani Hashim berkata jika ada kenderaan didapati tidak menepati spesifikasi ditetapkan, tindakan boleh dikenakan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715). (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana parti politik yang melakukan modifikasi kenderaan untuk tujuan berkempen sempena pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pengarah JPJ, Zailani Hashim, berkata sekiranya terdapat kenderaan didapati tidak menepati spesifikasi seperti yang ditetapkan Agensi Perkhidmatan Awam Darat sebagai kenderaan komersial, ia boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) iaitu salah guna permit dan melakukan modifikasi kenderaan.

“Tidak ada lesen besar untuk mana-mana parti membuat ubah suai kepada kenderaan mereka pada musim PRU ini,” katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan Op Advokasi Keselamatan Jalan Raya Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi, di sini, malam tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

Beliau juga berkata JPJ menjangkakan kenaikan aliran trafik menjelang hari pengundian pada 19 Nov dan menyeru pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.

Sementara itu, Zailani memaklumkan bagi tempoh Januari hingga September 2022, terdapat 402,626 kes kemalangan jalan raya telah direkodkan melibatkan 4,379 kematian berbanding 255,532 kes kemalangan jalan raya dengan 3,324 kematian bagi tempoh sama pada 2021.

“Perbandingan data 2021 dan 2022 menunjukkan terdapat peningkatan nahas jalan raya iaitu sebanyak 147,094 kes. Ia kerana pada tahun lepas negara dilanda dengan pandemik Covid-19 dan tidak banyak kenderaan berada di atas jalan raya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.