
Premier Sarawak, Abang Johari Openg berkata, pengeluaran permit kerja jangka panjang itu merupakan insiatif kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai tenaga kerja berkemahiran menyumbang kepakaran dalam pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri itu.
“Permit kerja untuk tempoh lima tahun meliputi golongan profesional dari luar yang bertugas di Sarawak dalam semua sektor ekonomi daripada sektor perindustrian hingga perkhidmatan, termasuk sektor perubatan. Anda tidak perlu memperbaharui permit kerja setiap tahun.
“Kita memberi kelonggaran ini supaya ahli profesional boleh bekerja dan tinggal lebih lama di Sarawak. Kita boleh melaksanakan peraturan ini kerana soal imigresen di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya menurut Bernama ketika berucap pada jamuan malam Persatuan Hospital Swasta Malaysia di Kuching.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri akan menyemak semula keputusan hanya memberi visa 14 hari kepada pelancong perubatan ke Sarawak.
“Kita benarkan orang datang ke Sarawak dan kebiasaannya kita beri visa untuk tempoh tiga bulan. Saya tidak tahu mengapa hanya 14 hari untuk pelancong perubatan. Saya akan memperbetulkannya, terutama kepada mereka yang datang dari luar khusus untuk mendapatkan rawatan perubatan.”