PRU15: Agihan kerusi PN selesai, kata Muhyiddin

PRU15: Agihan kerusi PN selesai, kata Muhyiddin

Satu tarikh akan ditetapkan bagi setiap negeri PN masing-masing mengumumkan keputusan itu nanti.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan perbincangan antara gabungan itu dan Gerakan Tanah Air (GTA) masih berlangsung tetapi belum dimuktamadkan kerana ada isu belum selesai.
PETALING JAYA:
Pembahagian kerusi antara parti dan pelantikan calon bertanding pada PRU15 daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN) selesai, kata pengerusinya Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, satu tarikh akan ditetapkan bagi setiap negeri PN masing-masing mengumumkan keputusan itu nanti.

“Hari ini kita telah memuktamadkan pembahagian kerusi parti gabungan dalam PN, iaitu Bersatu, PAS dan Gerakan khususnya di Semenanjung. Pembahagian kerusi selesai.

“Nanti akan tetapkan tarikh untuk setiap negeri PN masing-masing umumkan keputusan itu, bukan sahaja tentang kerusi, tetapi juga calon bertanding yang telah kita putuskan di setiap kerusi,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PN di ibu pejabat Bersatu.

Beliau turut menyuarakan rasa syukur dengan sikap saling hormat-menghormati dan bertoleransi semua pihak dalam menyatakan hasrat mereka.

Sementara itu, Muhyiddin menafikan dakwaan perbincangan antara PN dan Gerakan Tanah Air (GTA) masih berlangsung tetapi belum dimuktamadkan kerana ada isu belum selesai.

“Tidak ada perbincangan dan tidak ada mesyuarat rasmi. Mungkin ada bincang di peringkat bawahan tetapi tidak sampai kepada majlis (presiden), saya tidak tahu,” katanya.

Katanya, PN telah memutuskan bahawa akan meneruskan inisiatif dengan gabungan parti itu sahaja.

“Yang penting kita di peringkat parti, setakat hari ini tiada perbincangan rasmi dibuat. Mungkin ada hajat begitu sahaja tetapi kita akan teruskan atas dasar PN sahaja,” katanya.

Hari ini Pengerusi Penaja GTA, Dr Mahathir Mohamad, berkata pihaknya memberi PN tempoh dua hari untuk membuat keputusan berhubung kerjasama politik mereka dalam PRU15.

Beliau berkata, perbincangan dengan PN masih berterusan, tetapi satu tarikh akhir telah ditetapkan.

“Selepas itu, kami boleh muktamadkan kerusi kami sebelum 2 Nov,” katanya dalam sidang media, namun mengakui kedua-dua pihak menghadapi sedikit kesukaran dalam perbincangan itu.

Semalam, Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin, berkata belum ada rundingan rasmi antara gabungan itu dengan GTA.

Beliau berkata, “risik-merisik” biasa dalam politik namun pihak atasan belum membuat keputusan sama ada perbincangan boleh dijalankan secara rasmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.