Nik Omar masih Amanah walaupun atas kuota PKR

Nik Omar masih Amanah walaupun atas kuota PKR

Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda berkata, Nik Omar Nik Aziz tidak keluar parti.

Status keahlian Nik Omar Nik Aziz, yang juga ahli Jawatankuasa Amanah Pusat, menjadi persoalan apabila pencalonannya bagi PRU15 diumumkan oleh pemimpin PKR. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Amanah memaklumkan calon Pakatan Harapan (PH), Nik Omar Nik Aziz masih ahlinya meskipun PKR mengumumkan pencalonan anak bekas menteri besar Kelantan itu.

Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda berkata, Nik Omar tidak keluar parti di sebalik perkembangan ini.

Presiden PKR Anwar Ibrahim semalam mengumumkan Nik Omar akan bertanding di Perak. Semua calon parti komponen Pakatan Harapan (PH) akan bertanding sebagai calon gabungan itu, kecuali DAP di Sarawak.

“Beliau masih ahli Amanah,” kata Hasbie kepada FMT.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan Nik Omar akan bertanding atas kuota PKR.

“Nik Omar dipilih tanding atas kuota PKR mewakili PH dan perkara itu sudah dimaklum kepada pimpinan termasuk Amanah,” katanya ketika dihubungi.

Nik Omar memaklumkan soal keahlian parti beliau tidak pun disentuh dalam perbincangan dengan Anwar.

“Kita tak bincang soal parti. Kita bincang calon mewakili PH. Soal keahlian kita tak sentuh masa perbincangan dengan Anwar,” katanya kepada FMT.

Ditanya risiko berdepan kekalahan kerana bertanding di luar negeri kelahirannya, Nik Omar berkata, perkara itu ditentukan oleh pimpinan.

“Saya ambil semangat Anwar tanding kawasan berisiko di Tambun. Beliau tidak pilih kerusi selamat. Kalau jeneral kita pilih kawasan risiko, apalah yang ada pada seorang askar,” katanya.

Status keahlian Nik Omar, yang juga ahli Jawatankuasa Amanah Pusat, menjadi persoalan apabila pencalonannya diumumkan oleh pemimpin PKR.

Nik Omar bertanding atas logo PKR di kerusi DUN Chempaka, Kelantan pada 2018, tetapi tewas dalam pertembungan tiga penjuru yang menyaksikan calon PAS, Ahmad Fathan Mahmood menang dengan majoriti 3,474 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.