GTA beri PN ‘kata dua’ berkait kerjasama PRU15

GTA beri PN ‘kata dua’ berkait kerjasama PRU15

Dr Mahathir Mohamad berkata perbincangan masih berterusan tetapi satu tarikh akhir telah ditetapkan.

Dr Mahathir Mohamad berkata beliau mahu memuktamadkan kerusi yang bakal ditandingi Gerakan Tanah Air sebelum 2 Nov.
PUTRAJAYA:
Gerakan Tanah Air (GTA) memberi Perikatan Nasional (PN) tempoh dua hari untuk membuat keputusan berhubung kerjasama politik mereka dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menurut Dr Mahathir Mohamad, pengerusi gabungan tidak rasmi diketuai parti Pejuang pimpinannya, perbincangan dengan PN masih berterusan, tetapi satu tarikh akhir telah ditetapkan.

“Selepas itu, kami boleh muktamadkan kerusi kami sebelum 2 Nov,” katanya dalam sidang media hari ini, namun mengakui kedua-dua pihak menghadapi sedikit kesukaran dalam perbincangan itu.

Semalam, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin berkata, belum ada rundingan rasmi antara gabungan itu dengan GTA.

Beliau berkata, “risik-merisik” biasa dalam politik namun pihak atasan belum membuat keputusan sama ada perbincangan boleh dijalankan secara rasmi.

Sementara itu, Mahathir berkata GTA sedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) tetapi belum menerima sebarang makluman positif.

“Saya telah jelas membayangkan kesediaan bekerjasama dengan sesiapa selain Umno dan BN. Tetapi mereka mesti memberikan respons yang positif,” kata bekas perdana menteri itu.

GTA adalah gabungan tidak rasmi meliputi parti berasaskan Melayu, NGO, ahli akademik dan profesional. Parti politik di dalam GTA adalah Pejuang pimpinan Mahathir, Putra, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Menurut laporan sebelum ini, semua calon GTA akan menggunakan logo Pejuang susulan kegagalannya didaftarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) sebelum PRU.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.