Gobind pertahan keputusan pilih Ganabatirau ganti Santiago

Gobind pertahan keputusan pilih Ganabatirau ganti Santiago

Pengerusi DAP Selangor berkata, ADUN Kota Kemuning itu mempunyai rekod mengagumkan sebagai exco dan wakil rakyat selama dua penggal.

Gobind Singh Deo berkata, beliau sudah berbincang dengan Charles Santiago ‘suatu masa dulu’ mengenai ‘beberapa isu’ yang dibawa ke perhatiannya.
PETALING JAYA:
Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo mempertahankan keputusan parti itu mencalonkan V Ganabatirau bagi kerusi Parlimen Klang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, ADUN Kota Kemuning itu mempunyai rekod mengagumkan sebagai exco Selangor dan merupakan wakil rakyat dua penggal yang berpengalaman.

“Beliau menangani isu-isu di kawasannya dengan baik dan bagi saya, beliau merupakan exco yang boleh mencapai prestasi,” katanya dalam majlis makan malam kutipan dana DAP di sini.

Gobind berkata, beliau sudah berbincang dengan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago “suatu masa dulu” dan memaklumkannya mengenai “beberapa isu” yang dibawa ke perhatiannya.

“Saya sudah berbincang dengan Santiago mengenainya dan ia bukan kes di mana kita tidak berbincang dengannya langsung,” katanya dalam menolak laporan Malaysiakini bahawa beliau tidak memberi penjelasan kepada Santiago mengenai kelemahannya.

“Cukup untuk saya katakan kami (parti) sudah memberinya peluang bertanding di Klang selama tiga penggal.”

Beliau berkata, Santiago tahu mengenai permintaan untuk menggantikannya sejak 2013.

Khabar angin berhubung Santiago akan digugurkan mendapat bantahan kumpulan perniagaan, NGO dan penduduk di Klang yang memuji Santiago atas khidmat masyarakat dan kerja kerasnya, terutama ketika banjir tahun lalu.

Gobind berkata, walaupun ramai yang menyokong Santiago, ada juga yang tidak berkongsi pandangan sama.

“Ia bukan keputusan mudah. Kami mempunyai empat kerusi di Selangor dan selepas 15 tahun (khidmatnya) ada permintaan untuk kami mempertimbangkan orang lain dan personaliti baharu.”

Dalam perkembangan lain, Gobind menyambut baik keputusan bekas Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack bertanding sebagai calon bebas, selepas DAP mencalonkan Young Syefura Othman di kerusi Parlimen itu.

“Semoga berjaya (Wong Tack). Beliau berhak bertanding dalam pilihan raya. Kami mempunyai keyakinan penuh terhadap calon yang kami cadangkan.”

Katanya, DAP perlu menumpukan usaha untuk meyakinkan rakyat memberi mandat kepada Syefura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.