Adam dijangka tanding Hang Tuah Jaya, kata sumber PKR

Adam dijangka tanding Hang Tuah Jaya, kata sumber PKR

Bagaimanapun, pencalonan ketua pemuda PKR itu di kawasan tersebut dijangka tidak dipersetujui akar umbi.

Berita mengenai pencalonan Adam Adli di Hang Tuah Jaya sudah tersebar sejak dua hari lepas, menurut seorang pemimpin Pemuda PKR Melaka.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda PKR Adam Adli dijangka akan bertanding di kerusi Hang Tuah Jaya, Melaka menurut sumber dalaman PKR.

Sumber tersebut, salah seorang ahli jawatankuasa Pemuda PKR, mengesahkan perkembangan terbaru ini kepada FMT semalam.

“Benar, Adam akan ke Hang Tuah Jaya,” katanya.

Sebelum ini, timbul ura-ura bahawa Adam akan bertanding di kerusi Parlimen Nibong Tebal.

Kerusi tersebut sebelum ini dimenangi  bekas pemimpin PKR, Mansor Othman yang menyertai Bersatu selepas dipecat susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Berita mengenai pencalonan Adam di Hang Tuah Jaya sudah tersebar sejak dua hari lepas, menurut seorang pemimpin Pemuda PKR Melaka.

“Soal pencalonan, tiada lagi pengesahan daripada parti,” katanya.

“Nama Adam disebut-sebut sebagai salah seorang calon PKR di Hang Tuah Jaya selain seorang lagi calon wanita.”

Bagaimanapun, nama calon wanita tersebut tidak dinyatakan.

Namun, pencalonan Adam dilihat tidak mendapat sokongan akar umbi PKR di Melaka dan cabang Hang Tuah Jaya.

Beberapa pemimpin PKR tempatan menyuarakan kekhuatiran akan timbul tentangan daripada akar umbi di kawasan tersebut jika Adam dicalonkan.

“Setakat ini, akar umbi menyuarakan rasa tidak senang jika calon ‘payung terjun’ diletakkan di sini,” kata seorang pemimpin PKR Melaka.

Sumber tersebut turut mengesahkan cabang Hang Tuah Jaya hanya meletakkan seorang calon, iaitu ketuanya, Rafee Ibrahim.

Sebelum ini, PKR memenangi kerusi Hang Tuah Jaya melalui bekas timbalan menteri industri utama, Shamsul Iskandar Md Akin dengan majoriti 8,640 undi.

Shamsul kini disebut-sebut akan menjadi calon PKR di kerusi Bagan Datuk, Perak, menentang Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.