
Tetapi, beliau tidak mendedahkan siapa yang akan menggantikannya untuk bertanding di kerusi itu pada 19 Nov nanti.
Dalam majlis makan malam kutipan dana hari ini, Pua mendedahkan ramai pemimpin cuba memujuknya tidak menarik diri daripada bertanding.
Tetapi, katanya, keputusan untuk berundur dibuat “bertahun-tahun dulu”.
“Saya tidak meninggalkan pasukan dan saya percaya kepada pasukan itu.
“Saya hanya menugaskan diri semula untuk memainkan peranan berbeza, menggunakan kekuatan saya sebaiknya. Apabila dipanggil, Tony Pua akan berikan segala-galanya.”
Ogos lalu, Pua berteka-teki sama ada beliau akan bertanding pada PRU15 dengan memberitahu FMT: “Kita akan lihat. Kita akan lihat.”
The Straits Times sebelum ini melaporkan Pua memberitahu rakan parti, beliau tidak akan bertanding pada PRU15.
Akhbar harian Singapura itu melaporkan Ahli Parlimen tiga penggal itu sudah menjelaskan kepada rakan DAP bahawa beliau tidak akan bertanding kerusi Parlimen untuk penggal keempat.
Pua mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang memberi peluang kepadanya untuk bertanding dan berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, serta membenarkan muka baharu bertanding bagi memastikan parti itu kekal relevan pada PRU akan datang.
Katanya, Damansara adalah kerusi istimewa, dengan nama itu sendiri mampu “menimbulkan ketakutan dalam kalangan mereka yang korup, Umno dan Barisan Nasional”.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook menyifatkan Pua antara Ahli Parlimen paling rajin di Malaysia yang melaburkan masa dan tenaganya dalam mendedahkan skandal, termasuk 1MDB dan menjalankan penyelidikan, antara lain.
“Beliau antara segelintir kecil pemimpin DAP yang akan bekerja keras untuk membantu parti,” kata Loke sambil memuji Pua ialah pemimpin tidak mementingkan diri yang mengutamakan kepentingan rakyat.
Katanya, beliau bersama LIm akan cuba memujuk Pua mengubah fikiran, walaupun “tidak ramai berjaya sebaik saja dia membuat keputusan.”
“Tony dah buat keputusannya. Saya menghormatinya.
“Saya beritahunya, apabila kita berjaya mengambil alih kerajaan persekutuan, kita memerlukan orang yang cekap seperti beliau. Saya tidak akan lepaskannya.”