Helikopter terhempas bawa Pasukan Doktor Udara, kata Khairy

Helikopter terhempas bawa Pasukan Doktor Udara, kata Khairy

Khairy Jamaluddin berkata, pasukan itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas melawat perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.

Biro Siasatan Kemalangan Udara di Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan lanjut berhubung nahas helikopter terhempas dekat Brinchang, Cameron Highlands. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan mengesahkan helikopter yang terhempas dekat Brinchang, Cameron Highlands tengah hari tadi membawa Pasukan Doktor Udara (FDU) dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta.

Menteri Kesihatan sementara, Khairy Jamaluddin berkata, mangsa terdiri daripada pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat kesihatan, pembantu kesihatan awam, jururawat masyarakat dan juruterbang.

Ketika kejadian, katanya, pasukan itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas membuat lawatan berkala ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.

“Kejadian membabitkan sebuah helikopter yang dinaiki oleh PDU dari PKD Kinta yang telah membuat pendaratan kecemasan pada 1 tengah hari berhampiran Brinchang, Cameron Highlands,” katanya dalam kenyataan.

Setakat 7 malam tadi, katanya, empat mangsa cedera sudah dikeluarkan dari tempat nahas ke zon rawatan untuk penilaian perubatan.

“Dua daripadanya dirujuk ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom untuk pemeriksaan lanjut dan penilaian semula status kesihatan masing-masing, manakala dua lagi masih di zon rawatan.

“Dua lagi mangsa sedang dibawa keluar dari tempat nahas ke zon rawatan,” katanya sambil menambah punca nahas itu masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan lanjut berhubung nahas itu.

Katanya, pegawai berkaitan turut diarahkan menambah baik dan mengekalkan pemeriksaan pematuhan keselamatan oleh pengendali swasta dalam industri penerbangan tempatan.

“Mereka perlu lebih berwaspada, lebih-lebih lagi faktor cuaca buruk ketika ini. Saya memantau keadaan dan situasi yang dikemas kini oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dari semasa ke semasa,” katanya dalam catatan di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.