
Katanya, tidak adil untuk menggelar dirinya sebagai “katak” kerana beliau sentiasa meletakkan kepentingan rakyat lebih penting daripada mendapatkan kuasa.
Azmin dipecat keahlian PKR pada Februari 2020 atas dakwaan “pengkhianatan terbuka”.
Gandingan Azmin dan beberapa bekas Ahli Parlimen PKR bersama Bersatu, PAS, dan Barisan Nasional membawa kepada pembentukan kerajaan baharu bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin. Azmin menyertai Bersatu pada Ogos 2020.
“”Saya tak pernah lompat (parti). Tuduhan bahawa kita golongan katak adalah tidak berasas kerana saya dan kumpulan saya dipecat akibat tidak wujud demokrasi dalam parti lama,” katanya dalam Agenda Awani yang disiarkan malam tadi.
Menurut laporan sebelum ini, Azmin dipecat dari PKR pada 2020 bersama naib presiden Zuraida Kamaruddin sehari selepas mereka dilihat makan malam bersama pemimpin lawan.
Bagaimanapun, Azmin dan Zuraida bersama sembilan lagi Ahli Parlimen PKR mengeluarkan kenyataan bersama menyatakan mereka meninggalkan PKR untuk menyertai satu blok bebas di Parlimen.
Ketua penerangan PN itu juga menolak dakwaan mengatakan beliau dan kumpulan itu adalah pengkhianat sebaliknya menegaskan pengkhianat sebenar adalah pihak yang terbabit dalam dua langkah politik lain iaitu Langkah Kajang dan Langkah Port Dickson.
Langkah Kajang adalah rancangan menjadikan Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai menteri besar Selangor dengan bertanding pilihan raya kecil (PRK) DUN Kajang pada 2014, tetapi gagal selepas mahkamah mendapati beliau bersalah atas tuduhan liwat.
Langkah Port Dickson pula menyaksikan Anwar bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson bagi membolehkan beliau berpeluang menjadi perdana menteri selepas Mahathir Mohamad, tetapi tidak kesampaian juga kerana kerajaan PH ditumbangkan.
“Pengkhianat sebenar adalah mereka yang lakukan PRK di Kajang. Mengapa tidak fokus pada Langkah Kajang, Langkah Port Dickson, tetapi fokus pada Langkah Sheraton saja.
“Sedangkan Langkah Kajang adalah satu pengkhianatan mutlak, apabila wakil rakyat yang masih hidup, masih berkhidmat dan dipilih pada pilihan raya umum, tetapi oleh kerana nafsu serakah seseorang, maka dipaksa meletak jawatan untuk membolehkan beliau menjadi menteri besar Selangor.
“Begitu juga di Port Dickson, apabila wakil rakyat yang masih hidup, berkhidmat dan dipilih ketika PRU, dipaksa meletak jawatan untuk memenuhi nafsu serakah seseorang yang ingin menjadi perdana menteri? Apakah ini bukan pengkhianatan?,” katanya.
Tambah Azmin, Langkah Sheraton berbeza dengan Langkah Kajang dan Langkah Port Dickson kerana tiada siapa yang dipaksa meletak jawatan.
“Malangnya, oleh kerana pergaduhan dan perebutan kuasa dalam PH itu sendiri menyebabkan Mahathir meletak jawatan.
“Mengapa dipersalahkan saya atau Muhyiddin sedangkan berlakunya kekosongan itu kerana perdana menteri meletak jawatan, maka proses penggantian dilakukan mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya.