Cuba lerai pergaduhan babit sepupu, lelaki cedera dibelasah

Cuba lerai pergaduhan babit sepupu, lelaki cedera dibelasah

Pergaduhan dipercayai berpunca daripada tindakan sepupu mangsa meletakkan kenderaan di hadapan rumah suspek, menurut polis.

Tangkap layar klip video tular yang memaparkan sekumpulan lelaki memukul mangsa dalam kejadian di Serendah, Kuala Selangor, petang semalam.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga tempatan cedera dipukul setelah cuba meleraikan pergaduhan antara sepupunya dengan seorang lelaki di Serendah, Kuala Selangor, petang semalam.

Ketua Polis Hulu Selangor Suffian Abdullah berkata, dua klip video pergaduhan tersebut tular di WhatsApp dengan kapsyen “Geng GST 08 Serendah Michael”, memaparkan sekumpulan lelaki memukul mangsa sehingga terbaring dan berlumuran darah.

“Berdasarkan siasatan awal, pihak polis mendapati pergaduhan ini berpunca daripada sepupu mangsa dipercayai meletakkan kenderaan di hadapan rumah suspek.

“Suspek dikatakan telah menegur sepupu mangsa sehingga terjadinya pergaduhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian pada kira-kira 6 petang itu, mangsa pada awalnya bertindak meleraikan pergaduhan tersebut namun dipukul oleh suspek.

Melihat mangsa dikepung sekumpulan lelaki dipercayai rakan suspek, sepupu mangsa lari meninggalkannya.

Mangsa yang cedera dipukul menggunakan objek tumpul dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Sehubungan itu, Suffian menyeru masyarakat untuk membuat aduan ke balai polis berdekatan jika mempunyai sebarang maklumat bagi membantu siasatan.

“Semua suspek yang terlibat telah dikenal pasti dan akan diambil tindakan tegas oleh pihak polis.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.