Terjun keluar lori terbabas, pemandu maut terhentak kepala atas jalan

Terjun keluar lori terbabas, pemandu maut terhentak kepala atas jalan

Kenderaan yang dipandu mangsa, Badrul Hisham Kamaruddin, 24, dipercayai hilang kawalan semasa menuruni bukit di Jalan Gua Musang-Lojing.

Lori yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan semasa menuruni bukit di Jalan Gua Musang-Lojing malam tadi. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Pemandu sebuah lori membawa muatan buah sawit maut selepas terjun keluar daripada kenderaannya yang sedang terbabas di Gua Musang, Kelantan, malam tadi.

Mangsa, Badrul Hisham Kamaruddin, 24, yang berasal dari Machang, meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian kepala dalam kejadian pada kira-kira 9.15 malam di KM56 Jalan Gua Musang-Lojing itu.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu dipercayai hilang kawalan semasa menuruni bukit,” kata Ketua Polis Gua Musang Sik Choon Foo dalam kenyataan, lapor Bernama.

“Mangsa yang dikatakan cuba menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari kenderaan terbabit dipercayai terhentak kepala pada permukaan jalan dan mengalami kecederaan parah.”

Sik berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazahnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Siasatan lanjut masih dijalankan,” kata Sik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.