
“Saya memang anak jati Tambun. Walaupun selepas berakhirnya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kelak, menang atau tidak saya tetap di sini, kita raikan sesiapa sahaja yang mahu bertanding di sini.
“Sudah tentu menjadi calon anak tempatan memberi kelebihan kepada saya kerana sejak 2018, di Tambun inilah saya banyak luangkan masa dan rapat dengan mereka (pengundi) kerana saya jaga Tambun,” katanya.
Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) dan PAS, selepas meraih 38,661 undi dengan majoriti 5,320 undi.
Ahmad Faizal yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak berkata, strategi meletakkan calon tempatan dijangka akan memberikan kelebihan dan membuahkan hasil kerana mereka sentiasa berada bersama rakyat pada masa susah dan senang.
“Sudah pasti kita dalam PN akan mengemukakan calon daripada semua gabungan dalam PN, kita tunggulah pengumuman yang akan dibuat dalam masa terdekat, siapa gandingan yang bersama saya di Parlimen Tambun,” katanya.
Pada Khamis, Pengerusi PH Anwar Ibrahim mengumumkan beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15.