
Setiausaha agung DAP itu berkata, beliau telah bertemu dengan Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Presiden Amanah Mohamad Sabu semalam mengenai perkara berkenaan.
“Kita telah buat keputusan semalam, saya jumpa dengan Anwar dan Mat Sabu. Kita telah ada kerangka (pakatan pilihanraya) dan arahan telah diberi kepada Jawatankuasa Perundingan, mesti jumpa pihak Muda Ahad (esok) ini.
“Mesyuarat telah ditetapkan pagi Ahad ini untuk bincang secara terperinci kerusi mana yang hendak dirundingkan,” katanya dalam kenyataan.
Loke yang juga bekas menteri pengangkutan berkata, walaupun proses rundingan dilihat berjalan perlahan, beliau percaya kerjasama Muda dengan PH mampu direalisasikan.
“Kadang-kala mungkin proses itu lambat, mungkin ada kekecewaan di situ, itu saya faham. Tapi apapun ada proses sedang berjalan dan bagi saya, tidak ada apa-apa halangan (untuk) kerjasama dengan pihak Muda,” katanya.
Muda pada 19 Okt menggesa satu rundingan rasmi bersama Majlis Presiden PH diadakan segera, terutamanya membabitkan pengagihan kerusi menjelang PRU15.
Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz berkata, sehingga kini masih belum ada mesyuarat rasmi bersama PH ditetapkan walaupun hari pengumuman agihan kerusi gabungan itu kian hampir.