The Star, 2 individu diarah bayar RM116,000 kerana fitnah bekas Exco Perak

The Star, 2 individu diarah bayar RM116,000 kerana fitnah bekas Exco Perak

Organisasi media itu, wartawan Foong Pek Yee dan pekebun Poh Wai Sheng dikehendaki membayar kos kepada A Sivanesan, bekas ADUN Sungkai.

A Sivanesan daripada DAP ialah ADUN Sungkai sebelum pembubaran DUN Perak. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Mahkamah Tinggi memerintahkan sebuah organisasi media dan dua yang lain membayar kos lebih RM116,000 kepada bekas Exco Perak yang menang saman fitnah bulan lepas.

Peguam R Kengadharan berkata, hakim perbicaraan, Pesuruhjaya Kehakiman Tee Geok Hock membahagikan kos yang perlu dibayar oleh The Star Media Group Bhd dan dua individu kepada A Sivanesan dalam keputusan yang dihantar melalui e-mel semalam.

Katanya, The Star Media diperintahkan membayar RM86,214, manakala wartawan Foong Pek Yee dan pekebun Poh Wai Sheng perlu membayar RM15,000 setiap seorang.

Bagaimanapun, Sivanesan diarah membayar kos RM20,000 kepada Presiden MCA Wee Ka Siong.

“Hakim menyampaikan keputusannya mengenai kos selepas kedua-dua pihak diarah memfailkan hujahan bertulis dua minggu lepas,” kata Kengadharan.

Pada 28 Sept, Tee mengarahkan Poh membayar ganti rugi sebanyak RM50,000, manakala Foong membayar RM70,000 dan The Star RM200,000 kerana memfitnah Sivanesan.

Bagaimanapun, beliau menolak saman Sivanesan terhadap Wee, yang telah membuat komen di Facebook berdasarkan sebuah artikel.

Tee turut memerintahkan The Star, Poh dan Foong menerbitkan permohonan maaf dalam kedua-dua edisi cetak dan dalam talian The Star.

Artikel yang menyinggung itu, yang ditulis berdasarkan maklumat diberikan oleh Poh kepada Foong, telah diterbitkan dalam kedua-dua versi akhbar itu pada 4 Ogos 2018.

Ia berkaitan dakwaan penebangan pokok buah-buahan di tanah negeri di Kampung Kuala Bikam, dekat Bidor, oleh sebuah syarikat perlombongan pasir, yang merupakan anak syarikat Perbadanan Menteri Besar (Perak).

Kawasan itu termasuk bawah DUN Sungkai, yang diwakili Sivanesan daripada DAP sebelum pembubaran DUN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.