Pemimpin mahu kuasa, kekayaan akan dibenci rakyat, dikutuk Allah, titah Sultan Selangor

Pemimpin mahu kuasa, kekayaan akan dibenci rakyat, dikutuk Allah, titah Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan pemimpin supaya tidak menjadi pengkhianat terhadap amanah yang diberikan rakyat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan pemimpin berintegriti, jujur dan beramanah akan mengubah landskap dan ekosistem kehidupan bermasyarakat, sertabmemacu negara mencapai matlamat yang dirangka. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, pemimpin yang hanya mahukan kuasa dan mencari kekayaan dunia akan menjadi perosak serta pengkhianat kepada rakyat dan negara.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin turut menegaskan pemimpin yang khianat, menipu dan menyalahgunakan kuasa untuk mengumpul kekayaan diri, pasti akan dibenci rakyat dan dikutuk Allah kerana boleh menjahanamkan negara.

“Sesungguhnya pemimpin yang tidak menegakkan nilai integriti, kejujuran dan amanah akan menyebabkan pemimpin itu sendiri terjerumus ke dalam aktiviti bersifat kemunafikan dan kemaksiatan, seperti amalan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan menyebarkan fitnah, yang mengakibatkan kerosakan sebuah kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah, pemimpin yang berintegriti, jujur dan beramanah bukan saja akan mengubah landskap dan ekosistem kehidupan bermasyarakat, bahkan memacu negara untuk mencapai matlamat yang dirangka agar menjadi negara mampan, stabil, dihormati dan beridentiti.

Baginda bertitah, junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW telah menonjolkan dirinya sebagai ikon hamba Allah yang berintegriti tinggi sehingga dikenali dengan gelaran “al-Amin”, iaitu “yang sangat dipercayai” dalam kalangan masyarakat Islam ketika itu.

Justeru, baginda bertitah, integriti berlandaskan nilai Islam yang berpaksikan kekuatan akidah, syariah dan akhlak adalah penyelesaian terbaik kepada kerosakan dan kemelut dalam diri, organisasi dan negara hari ini.

“Sedarlah wahai pemimpin, janganlah kamu menjadi pengkhianat terhadap amanah yang diberikan,” titah baginda sambil menambah sifar jujur dan amanah hendaklah menjadi identiti yang sebati dalam diri pemimpin.

Titah baginda, golongan pemimpin hendaklah menyerlahkan bukan saja kelembutan budi bahasa, tetapi kemuliaan akhlak dari sudut kejujuran dan keikhlasan, serta boleh diyakini dan dapat dipercayai rakyat, bahkan mengundang kehormatan daripada negara lain di dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.