Murid maut dihempap palang gol ketika aktiviti sukan

Murid maut dihempap palang gol ketika aktiviti sukan

Murid berusia 11 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Likas.

Tangkap layar daripada rakaman video menunjukkan mangsa diusung oleh pasukan perubatan di tempat kejadian.
KOTA KINABALU:
Kemeriahan sukan tahunan sebuah sekolah di Manggatal, di sini, bertukar tragedi apabila seorang murid maut dihempap palang gol semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.20 tengah hari itu, mangsa yang berusia 11 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Likas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa adalah murid lelaki tahun lima di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Lok Yuk, Manggatal.

Katanya, mangsa dipercayai dihempap palang gol ketika menyertai sukan tahunan sekolah di padang.

“Kejadian disedari bapa mangsa dan guru sekolah yang menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan segera.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zaidi berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur perbuatan jenayah dan kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), tetapi siasatan lanjut masih dijalankan.

Kejadian itu tular di media sosial sejak petang semalam, dengan rakaman video selama 14 saat memaparkan kanak-kanak terbabit diangkat menggunakan pengusung oleh pasukan perubatan di tempat kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.