KJ hampir pasti tak dapat kerusi selamat

KJ hampir pasti tak dapat kerusi selamat

Penyandang kerusi Parlimen Rembau itu berkata, beliau sedia menerima cabaran dan menggalas tanggungjawab yang diamanahkan parti, sekali gus menawan kerusi berkenaan dalam PRU15.

Khairy Jamaluddin membayangkan beliau hampir pasti bertanding di kerusi yang disandang parti pembangkang. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Menteri Kesihatan sementara, Khairy Jamaluddin memberi bayangan beliau bakal bertanding di kerusi Parlimen yang disandang wakil parti bukan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Meskipun kerusi itu belum dimuktamadkan dan masih dalam penilaian pucuk pimpinan BN, Khairy bagaimanapun mengesahkan ia adalah kawasan yang dimenangi parti lawan sebelum ini.

“Hampir sudah pasti saya akan dihantar ke kawasan yang dipegang oleh parti lawan dan hampir pasti tidak akan mendapat kerusi yang dianggap sebagai kerusi selamat,” katanya selepas menyampaikan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara Kampus Seremban.

Khairy yang menyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal, memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan untuk bertanding di kawasan itu.

Mohamad dilaporkan memberi jaminan akan mencari tempat sesuai untuk Khairy bertanding dalam PRU15 dan tidak akan membiarkan menteri kesihatan itu “hilang” begitu saja kerana beliau adalah pemimpin muda berkaliber.

Khairy berkata, beliau sedia menerima cabaran dan menggalas tanggungjawab yang diamanahkan parti, sekali gus menawan kerusi yang ditandinginya pada PRU15.

Ditanya sama ada kerusi berkenaan di Negeri Sembilan, Khairy yang enggan mendedahkan perkara itu berkata: “Pelbagai negeri, belum ada keputusan akhir. Kita tunggu.”

“Kita semua kena main peranan untuk parti. Kalau semua pergi ke kawasan selamat dan kita tak akan dapat membawa agenda kita secara luas. Jadi, kena ada juga yang sanggup pergi ke (kawasan) mungkin sebelum ini kita tidak menang,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.