Belum dapat kerusi PRU15, hubungi talian kesihatan mental, gurau KJ

Belum dapat kerusi PRU15, hubungi talian kesihatan mental, gurau KJ

Menteri Kesihatan sementara itu berkata, individu yang menghadapi masalah kesihatan mental boleh mendapatkan bantuan awal menerusi talian HEAL 15555.

Khairy Jamaluddin turut berseloroh akan menggunakan talian itu kerana belum diberikan kerusi untuk bertanding pada PRU15.
CYBERJAYA:
Menteri Kesihatan sementara, Khairy Jamaluddin berseloroh meminta ahli politik yang belum diberikan kerusi bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), menggunakan talian Krisis Kesihatan Mental Kebangsaan atau HEAL 15555 yang mula beroperasi hari ini.

Beliau turut bergurau akan menggunakan talian itu kerana belum diberikan kerusi untuk bertanding pada PRU15.

“Mana-mana ahli politik, musim pilihan raya umum ini boleh buat panggilan ke talian HEAL 15555 kalau tidak dapat kerusi, termasuk saya.

“Saya pun guna,” katanya berseloroh ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan.

Dalam pada itu, Khairy berkata, individu yang menghadapi masalah kesihatan mental boleh mendapatkan bantuan awal menerusi talian HEAL 15555 bagi mencegah permasalahan menjadi lebih serius.

Beliau berkata, talian yang beroperasi dari 8 pagi sehingga 12 tengah malam setiap hari, termasuk cuti umum itu, dikendalikan pegawai psikologi (kaunseling) Kementerian Kesihatan.

“Pada 10 Okt lalu sempena sambutan Hari Kesihatan Minda Sedunia, saya umum penambahbaikan ke atas Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial, dengan mewujudkan talian 5-digit atau dikenali Talian HEAL 15555 dan akan mula beroperasi pada 21 Okt. Perkataan HEAL itu bermaksud ‘Help with Empathy and Love’.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.