Saman Santiago bersifat akademik selepas SPR tetap tarikh PRU15, mahkamah diberitahu

Saman Santiago bersifat akademik selepas SPR tetap tarikh PRU15, mahkamah diberitahu

Peguam SPR berkata, ia 'hanya menjalankan tugas mengikut Perlembagaan' untuk mengadakan pilihan raya selepas Parlimen dibubarkan.

Charles Santiago memfailkan saman untuk menghalang PRU15 diadakan atas dakwaan tindakan Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob tidak berperlembagaan.
KUALA LUMPUR:
Seorang peguam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa saman difailkan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago untuk menghalang pilihan raya umum diadakan tidak boleh didengar lagi kerana rakyat akan mengundi bulan depan.

“Saman ini kini (menjadi) akademik,” kata peguam Zulkefli Ahmad Makinudin selepas memaklumkan mahkamah bahawa SPR menetapkan pilihan raya umum ke-15 pada 19 Nov ini.

Santiago memfailkan saman itu minggu lalu bagi menghalang SPR mengadakan PRU15. Beliau mendakwa permintaan Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya Parlimen dibubarkan tidak mengikut Perlembagaan.

Beliau berkata, permintaan itu tidak dibuat atas nasihat Jemaah Menteri Ismail.

Susulan itu, SPR dan Ismail memohon mahkamah membatalkan saman Santiago atas alasan ia remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Zulkifli juga memberitahu mahkamah, SPR mempunyai kewajipan Perlembagaan untuk menjalankan pilihan raya.

Mengikut undang-undang, katanya, sebaik saja pembubaran Parlimen diwartakan, SPR perlu campur tangan dan mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari, seperti termaktub di bawah Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Saman ini bertujuan menghalang SPR daripada menjalankan kewajipan (Perlembagaan).

“Selain itu, Akta Prosiding Kerajaan 1956 dengan jelas menyatakan kerajaan tidak boleh dilarang (daripada menjalankan tugasnya).”

Peguam Santiago, Malik Imtiaz Sarwar memberitahu mahkamah, kes mereka ialah mencabar kesahihan permintaan Ismail kepada Sultan Abdullah supaya Parlimen dibubarkan, bukannya prerogatif Agong.

Beliau berkata, perdana menteri gagal berbincang dengan menteri Kabinet mengenai perkara itu, seperti yang dilihat dalam kenyataan dikeluarkan beberapa menteri.

Malik berkata, keadaan banjir bertambah buruk sejak Santiago memfailkan saman itu.

“(Santiago sebelum ini) menulis surat kepada SPR untuk mendapatkan jawapan bagaimana mereka bercadang menjalankan pilihan raya pada musim tengkujuh, namun tidak menerima sebarang jawapan.”

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan 28 Okt ini untuk keputusan berhubung permohonan SPR dan Ismail membatalkan saman Santiago.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.