Bilangan pengundi naik mendadak satu negara, pemimpin GRS ‘ketinggalan bas’, kata Warisan

Bilangan pengundi naik mendadak satu negara, pemimpin GRS ‘ketinggalan bas’, kata Warisan

Ahli Majlis Tertinggi Warisan Azhar Matussin mencadangkan agar Jeffrey Kitingan dan Yong Teck Lee merujuk SPR untuk mendapatkan maklumat selanjutnya.

Ahli Majlis Tertinggi Warisan Azhar Matussin berkata, bilangan pengundi meningkat secara mendadak bukan di Sabah sahaja, malah di seluruh negara, disebabkan pendaftaran pengundi automatik.
PETALING JAYA:
Peningkatan mendadak bilangan pengundi bukan hanya berlaku di Keningau atau di Sabah, tetapi berlaku di seluruh negara, kata Ahli Majlis Tertinggi Warisan Azhar Matussin.

Beliau menyifatkan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) “ketinggalan bas” dan memalukan diri sendiri apabila mempersoalkan perkara itu.

“Sebagai contoh, Parlimen Sepanggar sendiri menunjukkan peningkatan ketara (bilangan pengundi), iaitu 62,415 pada 2018 dan meningkat sehingga 107,463 mengikut statistik Julai lalu.

“Jumlah ini semakin bertambah setiap bulan memandangkan wujudnya pemilih berdaftar secara automatik bagi pengundi berusia 18 tahun.

“Bukan sahaja pengundi baharu daripada golongan 18 tahun, malah semua yang belum mendaftar sebagai pengundi akan didaftarkan secara automatik,” katanya dalam kenyataan.

Azhar berkata, Presiden STAR Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Yong Teck Lee mungkin belum maklum bahawa kini pengundi didaftarkan secara automatik oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau turut mencadangkan agar Kitingan dan Yong merujuk SPR untuk mendapatkan maklumat selanjutnya.

“Sebenarnya, bukan SPR yang perlu beri penjelasan, sebab ramai yang sudah tahu. Sangat menghairankan mengapa mereka masih ‘ketinggalan bas’,” katanya.

“Bak kata pepatah lama, malu bertanya sesat jalan. Sila rujuk SPR berbanding membuat kenyataan media seperti ini yang akan memalukan diri sendiri.”

Mengulas mengenai kenyataan Yong yang mengesyaki peningkatan luar biasa ini disebabkan skandal projek kad pengenalan (IC), beliau berkata, ia sangat tidak munasabah.

“Saya rasa beliau masih belum faham bahawa kuasa mengeluarkan kad pengenalan ini terletak bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan,” katanya.

“Jika Yong hadir semasa taklimat SPR kepada semua ADUN Sabah beberapa bulan lepas, mungkin beliau (Yong) akan lebih faham mengapa berlaku peningkatan mendadak (pengundi), sekali gus tidak akan membuat kenyataan seumpama ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.