
Ketua Polis Daerah KLIA, Imran Abd Rahman berkata, Samsudin didapati tidak sedarkan diri selepas 20 minit pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kota Kinabalu.
“Bantuan kecemasan cuba diberikan, tetapi mangsa masih tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pesawat itu berpatah balik ke KLIA selepas juruterbang dimaklumkan mengenai perkara itu dan Samsudin, 67, disahkan meninggal dunia pada 4.47 petang tadi.
Katanya, Samsudin menjalani pembedahan jantung pada 2009 dan kali terakhir menjalani pemeriksaan jantung di Institut Jantung Negara pada Isnin lalu.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor dan Ketua Umno negeri, Bung Moktar Radin berkongsi berita pemergian Samsudin dalam catatan Facebook mereka.
“Semoga Allah ampunkan segala dosa Allahyarham Samsudin Yahya yang baru saja pergi menghadap ilahi.
“Semoga Allah terima segala amalan dan mengangkat darjat Allahyarham disisi-Nya,” tulis Hajiji.
“Takziah kepada Junaidah Aji dan seluruh keluarga, diharap tabah menerima kehendak Allah,” tulis Bung.
Bekas ketua Umno Bahagian Batu Sapi itu pernah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Sekong selama tiga penggal sebelum kalah pada PRU14.