
Ketuanya, Chong Chieng Jen, berkata parti itu akan menggugurkan penyandang yang didapati tidak memberikan khidmat kepada pengundi sepanjang tempoh menjadi wakil rakyat.
“Sebagai calon, syarat asas ialah anda perlu berkhidmat kepada rakyat bukan sahaja dalam tempoh pilihan raya tetapi sebelum pilihan raya.
“Dengan melihat mereka yang aktif di lapangan berkhidmat kepada rakyat, anda boleh tahu secara kasar siapa calon-calon itu,” katanya menurut The Borneo Post.
Selain Chong, Ahli Parlimen DAP di Sarawak terdiri Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching), Alice Lau (Lanang), Oscar Ling (Sibu), Wong Ling Biu (Sarikei) dan Mordi Bimol (Mas Gading).
Bagaimanapun, Chong berkata, senarai calon yang dimuktamadkan akan diumumkan di Sibu pada 22 Okt dan di Kuching pada 23 Okt.
Katanya, semua calon telah dimaklumkan mengenai pemilihan mereka sebelum Parlimen dibubarkan dan DAP tidak mempunyai masalah untuk kerusi yang ditandingi.
“Selain enam kerusi itu, DAP juga akan meletakkan calon di Serian dan Bintulu. Sebelum ini, kita ada kerusi Kapit tetapi ahli akar umbi di sana merasakan PKR mempunyai calon lebih baik, jadi kita biarkan mereka bertanding,” katanya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak itu berkata, PKR akan bertanding di 18 kerusi, manakala bakinya ditandingi Amanah.