Tunggu sah peletakan jawatan Muhyiddin sebelum bincang pengganti, kata Tuan Ibrahim

Tunggu sah peletakan jawatan Muhyiddin sebelum bincang pengganti, kata Tuan Ibrahim

Timbalan presiden PAS kata PN belum mengadakan mesyuarat membincangkan perkara tersebut.

Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi PN perlu disahkan terlebih dahulu, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
BANGI:
Perbincangan mengenai calon pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu hanya akan dilakukan selepas peletakan jawatan Muhyiddin Yassin disahkan oleh majlis tertinggi gabungan itu, menurut timbalan presiden PAS.

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PN belum mengadakan sebarang mesyuarat bagi membincangkan perkara tersebut.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi bahawa pengerusi PN baharu daripada partinya.

“Kita nak memuktamadkan dulu tentang pengesahan peletakan jawatan pengerusi. Lepas itu kita cadang parti-parti politik duduk bincang siapa yang akan jadi pengerusi,” katanya kepada pemberita, ketika ditemui di majlis sambutan Minggu Al-Quds Sedunia.

Tuan Ibrahim menambah PAS belum menghantar senarai nama calon pengerusi PN, buat masa sekarang.

Spekulasi muncul kerana PAS dilihat bertegas jawatan pengerusi PN harus dipegang oleh wakilnya, susulan keputusan Muhyiddin meletak jawatan berkuatkuasa 1 Jan.

Peletakan jawatan Muhyiddin menyusuli ketegangan akibat kemelut di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.

Difahamkan, perasaan tidak senang berhubung potensi Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, menjadi pengerusi mencetuskan desas-desus mengenai Muhyiddin kembali sebagai kemudi.

Sementara itu, Tuan Ibrahim mempertahankan kesesuaian PAS untuk menerajui PN.

“Kita tengok sokongan orang awam kepada kepimpinan PAS. Tak ada masalah pun,” katanya.

“Jangan lihat PAS ini sebagai hanya ulama. Profesional pun dalam PAS — pakar ekonomi, pakar politik, banyak kepakaran kita ada.”

Tuan Ibrahim turut mengingatkan bahawa Samsuri dan seorang lagi pemimpinnya, Sanusi Nor telah sekian lama menerajui negeri sebagai menteri besar.

“Tiada polemik timbul di negeri berkenaan, sama ada dalam kalangan orang Melayu mahupun bukan Melayu.”

Tuan Ibrahim mengulas kenyataan bekas pimpinan, Zuhdi Marzuki, yang berpandangan belum masanya untuk parti itu menerajui PN berdasarkan sentimen dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Mengulas dakwaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan tentang kebimbangan Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia, Tuan Ibrahim bertegas PAS bukan sebab parti lain gagal tarik sokongan.

“Kita lebih berjaya dengan menyapu bersih Terengganu, menang di Kelantan, Kedah, dan Perlis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.