Soalan undang-undang dalam kes hakim Nazlan didengar 10 Nov

Soalan undang-undang dalam kes hakim Nazlan didengar 10 Nov

Tiga plaintif mendakwa siasatan SPRM terhadap hakim itu adalah pelanggaran oleh cabang eksekutif terhadap kebebasan badan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menyabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak atas pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 Nov ini untuk mendengar permohonan dua peguam dan seorang aktivis berhubung persoalan undang-undang berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Antara persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada badan siasatan jenayah, termasuk SPRM hanya dibenarkan secara sah untuk menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang digantung tugas menurut Perkara 125 (5) Perlembagaan Persekutuan.

Persoalan lain ialah sama ada pendakwa raya mempunyai kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim yang berkhidmat menurut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Kedua-dua persoalan itu dinyatakan Nur Ain Mustapa, Sreekant Pillai dan Haris Fathillah Mohamed Ibrahim dalam saman pemula mereka terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, SPRM dan kerajaan Malaysia bagi menuntut perisytiharan bahawa siasatan terhadap Nazlan tidak berperlembagaan.

Peguam Wong Ming Yen yang mewakili ketiga-tiga plaintif ketika dihubungi berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Firdaus Sidqi Sharil Azli menetapkan 14 Nov untuk pengurusan kes sementara menunggu permohonan merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan didengar pada 10 Nov.

Pada 19 Julai lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan mereka untuk merujuk persoalan undang-undang itu ke Mahkamah Persekutuan, selepas memutuskan mahkamah tersebut adalah forum tepat dan sesuai untuk mendengar serta memutuskan isu yang boleh memberi kesan terhadap badan kehakiman secara keseluruhan.

Saman pemula yang difailkan pada 6 Mei lepas menyaksikan ketiga-tiga plaintif menuntut deklarasi bahawa SPRM tidak berhak atau dihalang daripada menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang berkhidmat, kecuali jika mereka digantung menurut Perkara 125 (5) Perlembagaan Persekutuan atau dipecat menurut Perkara 125 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa pendakwa raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim yang berkhidmat.

Melalui afidavit sokongan, ketiga-tiga plaintif berkata, media melaporkan SPRM memulakan siasatan terhadap Nazlan berkaitan dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya berikutan laporan yang dibuat kepada badan itu.

Mereka mendakwa siasatan SPRM terhadap hakim itu adalah pelanggaran oleh cabang eksekutif terhadap kebebasan badan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa.

Nazlan, yang mendengar kes Najib Razak dan menyabitkan bekas perdana menteri itu dengan pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, membuat laporan polis berhubung artikel yang mendakwa beliau sedang disiasat mengenai isu wang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.