Sindiket seludup migran didalangi warga Kemboja tumpas

Sindiket seludup migran didalangi warga Kemboja tumpas

Sindiket itu dikesan mula beroperasi sejak sempadan negara dibuka semula April lalu, dengan mengenakan bayaran RM5,000 hingga RM6,600 bagi setiap pendatang tanpa izin.

Suspek warga Kemboja ditahan bersama lima warga Myanmar berusia 18 hingga 44 tahun, sejurus keluar dari Terminal Bas Shah Alam pada Ahad lalu. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket penyeludupan migran yang didalangi warga Kemboja dalam operasi khas di Terminal Bas Shah Alam pada Ahad lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam operasi itu, lelaki berusia 47 tahun terbabit ditahan bersama dua lelaki dan tiga wanita warga Myanmar berusia 18 hingga 44 tahun, sejurus keluar dari terminal bas itu pada 7 petang.

“Semakan mendapati semua warga Myanmar itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan dan hasil soal siasat mendapati mereka baru tiba di negara ini Sabtu lepas (15 Okt) melalui jalan tidak diwartakan.

“Mereka dipercayai baru masuk ke negara ini secara tidak sah melalui lorong tikus di sempadan Malaysia-Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek warga Kemboja yang dipercayai bertindak sebagai ejen penyeludupan itu didapati masuk ke negara ini Julai lalu menggunakan pas lawatan sosial (PLS).

Katanya, sindiket itu dikesan mula beroperasi sejak pintu sempadan negara dibuka semula April lalu, dengan mengenakan bayaran RM5,000 hingga RM6,600 bagi setiap pendatang tanpa izin.

Semua warga asing itu ditahan di Depot Imigresen Putrajaya dan disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.