Sabah bentang RUU anti-lompat parti hujung November

Sabah bentang RUU anti-lompat parti hujung November

Bagaimanapun Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata kelulusan RUU itu bergantung kepada sokongan pembangkang kerana memerlukan majoriti dua pertiga.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata kerajaan negeri akan membentangkan RUU anti-lompat parti di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hujung bulan depan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Rang Undang-undang (RUU) anti-lompat parti dijangka dibentangkan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada akhir November dengan kelulusan bergantung kepada sokongan blok pembangkang, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.

“Insya-Allah kita akan perkenalkan dan membawa (pembentangan RUU anti lompat parti) ke persidangan DUN nanti. Mungkin kita akan bersidang hujung November ini selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Ini bergantung kepada sokongan daripada pihak pembangkang kerana kita harus mempunyai dua pertiga majoriti untuk meluluskan RUU ini,” katanya menurut Berita Harian.

Sementara itu, mengulas berhubung ADUN Bandau Wetrom Bahanda yang dilaporkan keluar Bersatu bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyatakan sokongan kepada Warisan, Hajiji berkata, beliau “belum menerima sebarang pengesahan”.

Hajiji yang juga ketua Bersatu Sabah dan pengerusi GRS berkata belum ada pengumuman rasmi daripada Wetrom.

“Saya pun tidak tahu beliau lompat (dari parti secara rasmi) atau tidak. Kita belum ada lagi pengumuman rasmi daripada beliau (Wetrom),” katanya.

Setiausaha Agung GRS, Masidi Manjun, sebelum ini mengesahkan pautan yang tular di media sosial mengenai Wetrom keluar Bersatu selepas dilihat menghadiri program anjuran Warisan.

Menurutnya, tindakan Wetrom dijangka berikutan bekas pembantu menteri kepada ketua menteri itu berhasrat bertanding pada PRU15 di kerusi Parlimen Kota Marudu, yang mana kerusi terbabit diperuntukkan kepada rakan Bersatu dalam GRS, iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS).

Presiden Warisan Shafie Apdal setakat ini belum memberi sebarang pengesahan berhubung penyertaan Wetrom memasuki parti bawah pimpinannya itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.