
Ini sekali gus menyangkal laporan bahawa program itu berlangsung hambar, dengan hanya 50 orang tetamu hadir.
Dalam kenyataan, PH berkata, sesi dialog itu berjaya menghimpunkan ketua masyarakat kawasan masing-masing dan golongan profesional termasuk doktor dan peguam.
“Program ini diadakan untuk mendengar suara akar umbi tentang hal-hal yang mustahak dan mendesak terutamanya dalam kalangan masyarakat India di Johor dan juga hal-hal umum,” menurut kenyataan itu.
FMT semalam melaporkan sebanyak 200 kerusi disediakan di Dewan Kelab Kebudayaan dan Sukan Johor itu, namun apabila acara bermula, hanya 50 orang hadir.
Program itu berlangsung pada 2 petang, lewat 40 minit daripada yang dijadualkan.
Penceramah terdiri daripada Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dan empat tokoh DAP, iaitu Ketua DAP Johor Liew Chin Tong, Naib Pengerusi Kebangsaan M Kula Segaran, Kasthuri Patto dan M Kanan.
Antara dapatan yang diperolehi daripada sesi dialog itu adalah majoriti hadirin menzahirkan rasa kurang senang dengan langkah mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ketika musim banjir dan sambutan Deepavali.
Program itu turut mengupas dan mewujudkan kesedaran lebih tinggi kepada peserta berkenaan situasi sebenar senario politik semasa, selain menjelaskan kepentingan mengundi pada PRU15.