Pintu pagar, tembok kediaman rasmi MB Kedah dilempar cat

Pintu pagar, tembok kediaman rasmi MB Kedah dilempar cat

Kejadian disedari anggota yang bertugas di pos pengawal kediaman rasmi menteri besar Kedah, pagi ini.

Polis menemui dua beg plastik masing-masing berisi cat biru dan merah di hadapan pintu masuk kediaman rasmi menteri besar Kedah. (Gambar Facebook)
ALOR SETAR:
Bahagian pintu pagar dan tembok hadapan kediaman rasmi menteri besar Kedah, Seri Mentaloon, dekat sini dilempar cat oleh individu tidak dikenali, pagi ini.

Ketua Polis Kota Setar Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu, 10 pagi daripada anggota yang bertugas di pos pengawal kediaman rasmi menteri besar.

“Anggota pos pengawal memaklumkan kejadian itu belum berlaku semasa dia datang bertugas pada 7 pagi tadi. Jadi, kita percaya ia berlaku sebelum 9.55 pagi kerana staf bertugas hanya menyedari kejadian sekitar waktu itu sebelum melaporkan kepada polis, 10 pagi.

“Hasil siasatan telah menjumpai dua beg plastik masing-masing berisi cat biru dan merah di sekitar kawasan kejadian yang ditinggalkan oleh suspek,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang berada berdekatan lampu isyarat Pantai Johor dan Alor Merah berikutan tiada CCTV di sekitar kediaman berkenaan.

“Pihak forensik juga telah menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat,” katanya.

Ahmad Shukri turut mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.