
James Chin, profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania, tidak bersetuju dengan ahli strategi DAP Liew Chin Tong dan ahli sains politik Wong Chin Huat yang baru-baru ini berkata, PH harus beralih daripada gaya berkempen negatif menggunakan naratif lama.
Chin berkata, gaya berkempen yang negatif berfungsi kerana pengundi cenderung mengingati mesej yang disampaikan, sambil menambah ia disokong oleh kajian mengenai pilihan raya di Malaysia dan negara lain.
“Justeru, tepat sekali bahawa kempen politik yang paling berjaya menggunakan gaya negatif dan positif,” katanya kepada FMT
Merujuk kepada PRU lalu, Chin berkata, kempen positif PH dengan naratif “Malaysia Baharu” dan bertentangan dengan naratif “mengejar kleptokrat” yang memfokuskan kepada 1MDB dan Najib Razak, membuahkan hasil sekali gus membawa kepada kekalahan bersejarah Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara mengakui bahawa walaupun PH boleh menarik pengundi ke arah itu dengan sentiasa menyerang Umno dan BN dalam gaya kempen negatifnya, hasilnya mungkin menjadi sebaliknya kali ini.
Beliau berkata, jika PH sentiasa menggambarkan Umno dan BN sebagai musuh utama yang harus dikalahkan pada PRU15, ia menggambarkan mereka sebagai pihak kuat yang berkemungkinan memenangi pilihan raya.
“Ia mungkin memberi mesej kepada pengundi atas pagar supaya tidak keluar mengundi kerana BN tetap akan menang,” katanya.
Beliau berkata, keputusan sebegitu oleh pengundi atas pagar akan mendatangkan bahaya kepada PH.
Oleh itu, tambahnya, gabungan tersebut sepatutnya mengelak daripada kempen berbentuk tuduhan dan retorik, sebaliknya menumpukan kepada isu berpaksikan dasar untuk memenangi hati pengundi.