Muda lapor polis ceramah Syed Saddiq diganggu pemuda bermotosikal

Muda lapor polis ceramah Syed Saddiq diganggu pemuda bermotosikal

Laporan itu dibuat Ketua Maharani Muda, Amir Fiqri di balai polis Muar yang menggesa polis mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab atas kejadian itu.

Kumpulan pemuda bermotosikal membuat bising dan mengganggu ceramah Syed Saddiq di Muar semalam.
PETALING JAYA:
Parti Muda membuat laporan polis susulan satu ceramah oleh Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Muar semalam diganggu sekumpulan anak muda yang membuat bising.

Laporan itu dibuat Ketua Maharani Muda, Amir Fiqri di Balai Polis Muar yang menggesa polis mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab atas kejadian itu.

Menurut laporan yang dibuat, Amir mendakwa ceramah telah didatangi sekumpulan lelaki menaiki motosikal yang membuat provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan isyarat lucah kepada Syed Saddiq ketika beliau berucap.

“Tujuan saya membuat laporan untuk memastikan bahawa keselamatan penonton dan juga ahli jawatan kuasa ceramah terjaga kerana pihak yang membuat provokasi telah mencetuskan ketegangan awam dan mengganggu kelancaran majlis,” katanya dalam laporan itu.

Selain itu, Amir berkata, laporan itu juga dibuat bagi menafikan sebarang penglibatan Muda yang didakwa membuat provokasi dalam ceramah yang disampaikan semalam oleh presiden parti.

Dalam kejadian itu, sekumpulan pemuda bermotosikal berkumpul di luar khemah dan menjerit memanggil Syed Saddiq “penipu” ketika presiden muda itu yang menjadi penceramah terakhir sedang berucap.

Hadirin yang sedang mendengar ucapan Syed Saddiq kemudian membalas jeritan kumpulan tersebut dengan meminta mereka untuk “balik”.

Polis dilihat menghalang kumpulan itu daripada menghampiri. Syed Saddiq juga menzahirkan rasa kecewa terhadap kumpulan itu, yang turut membuat bising dengan bunyi ekzos motosikal mereka.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Muar, Helmy Abdul Latif membuat laporan polis terhadap Syed Saddiq dan beberapa kepimpinan Muda kerana membuat tuduhan tidak berasas.

Beliau mendakwa, Pemuda Umno Muar dituduh membuat provokasi dan kekacauan ketika Ceramah Mega Muar MUDA sedang berlangsung semalam.

Sehubungan itu, Helmy Abdul Latif berkata, pihaknya telah berbincang dengan peguam untuk membuat tindakan saman terhadap mereka yang telah menuduh Pemuda Umno di dalam kes ini.

“Pemuda Umno secara keseluruhannya menolak politik secara provokasi sebegini dan ialah adalah budaya yang tidak diamalkan oleh Pemuda Umno,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.