ADUN PH tak ‘sepakat’ bawa usul persendirian berhubung hutan simpan, dakwa Otai Reformis

ADUN PH tak ‘sepakat’ bawa usul persendirian berhubung hutan simpan, dakwa Otai Reformis

Setiausaha Otai Reformis Abdul Razak Ismail mendakwa, hampir 4,000 hektar hutan di Selangor berdepan ancaman dibangunkan.

Akibat enggan berbincang dengan kumpulan alam sekitar, kerajaan negeri dibawa ke mahkamah berhubung pembangunan di Hutan Simpan Bukit Cherakah, menurut Otai Reformis.
PETALING JAYA:
ADUN Pakatan Harapan (PH) di Selangor didakwa tidak “sepakat” dalam membawa usul persendirian pada sidang DUN berhubung aktiviti di kawasan hutan simpan berskala besar, termasuk di hutan milik persendirian.

Setiausaha Otai Reformis Abdul Razak Ismail berkata, kerajaan negeri juga dikatakan gagal mengadakan perbincangan dengan mana-mana NGO alam sekitar sebelum aktiviti pembangunan dijalankan di kawasan hutan simpan.

“Kita dimaklumkan ADUN PH (parti kerajaan) agak tidak ‘sepakat’ untuk membawa usul persendirian (private bill) pada sidang dewan negeri dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Razak berkata, akibat keengganan berbincang dengan NGO alam sekitar, kerajaan negeri dibawa ke mahkamah, termasuk berkait Hutan Simpan Bukit Cherakah.

“Rekod menunjukkan sejak dua tahun kebelakangan ini, kerajaan Selangor bukan mengambil pendekatan untuk menjaga kelestarian hutan, sebaliknya ‘membalun’ kawasan hutan simpan atau hutan milikan persendirian semahu mungkin umpama tiada penghujungnya,” katanya.

Beliau mendakwa, sehingga kini sekurang-kurangnya enam kawasan hutan simpan sedang dalam perancangan untuk dibangunkan tanpa mendengar pandangan NGO alam sekitar.

Antara hutan terbabit termasuk Hutan Simpan Kuala Langat Utara, Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Hutan Simpan Bukit Cherakah, Hutan Simpan Bukit Lagong, Hutan sempadan Hulu Selangor-Genting Highland dan Hutan Paya Gambut Sungai Panjang, Sabak Bernam.

Rekod Jabatan Perhutanan Negeri menunjukkan terdapat 76 lokasi hutan simpan di Selangor dengan keluasan 250,250.33 hektar.

“Lebih merungsingkan laporan ‘Rimba Disclosure Project’ (badan pemantau hutan) yang disiarkan oleh sebuah akhbar bulan lepas menunjukkan bahawa kira-kira 4,000 hektar hutan di Selangor diancam dibangunkan,” katanya.

Pada 3 Ogos lepas, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) dan Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF) memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan menamakan kerajaan Selangor, majlis eksekutif negeri, pengarah Jabatan Perhutanan Negeri serta Jabatan Tanah dan Galian Petaling sebagai responden berhubung pembangunan di Hutan Simpan Bukit Cherakah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.