
Fahmi berkata, buat masa ini beliau akan fokus membantu penduduk di kawasannya dan menguatkan PKR dalam berdepan PRU15.
“Kalau diberi peluang saya sedia pertahankan. Sementara waktu akan terus buat kerja,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran buku “New York Calling” tulisan Khalilul Rahman di Corak dan Patterns, Bangsar.
Sebelum ini, sumber dalaman Bersatu memberitahu FMT, ketua bahagian Bersatu di Lembah Pantai dan Jerlun mahu mencalonkan Wan Saiful Wan Jan di dua kawasan itu.
Sumber itu berkata, ketua penerangan Bersatu itu mempunyai peluang cerah untuk bertanding di Lembah Pantai atau Jerlun pada PRU15.
PKR mengekalkan kerusi Lembah Pantai yang dimenangi sejak 2008 menerusi Fahmi dengan majoriti 5,598 undi pada PRU14.
Dalam pada itu, Fahmi berkata beliau sedia berdepan mana-mana calon daripada parti lawan pada PRU15.
Beliau berkata, selama empat tahun berkhidmat, PKR di Lembah Pantai semakin kuat.
“Saya lihat PKR akan beri fokus pada Lembah Pantai sebab telah memenangi kerusi tiga penggal, dan ia masih satu kerusi kita rasa boleh dianggap marjinal.
“Sebab itu kita kerja keras pastikan PKR terus menerajui Lembah Pantai. Siapa pun parti pilih nanti kita dengar dalam masa terdekat,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata saranan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad supaya parti pembangkang tidak berpecah sudah terlewat.
Katanya, PKR dan Pakatan Harapan (PH) telah menyatakan masa ini tidak ada rundingan dengan mana-mana parti selain dalam gabungan itu.
“Kita nak kukuhkan parti dalam PH. Sekarang wujudkan kerjasama yang telah dimulakan secara formal dengan Muda dan PSM. Bagi saya agak lewat untuk adakan perbincangan seperti itu,” katanya.