
Ketua Polis Wangsa Maju Ashari Abu Samah memberitahu FMT, bahawa mereka sedang menunggu maklumat tertentu daripada kedutaan Indonesia dan Jabatan Imigresen mengenai suspek.
Perkembangan terbaharu itu susulan rayuan Lam Ah Choy, 59, supaya polis meningkatkan usaha mencari anaknya Kim Ming yang hilang di Pudu, pada 2016.
“Siasatan sedang dijalankan, kami menunggu maklumat daripada Jabatan Imigresen dan kedutaan Indonesia,” katanya.
Kim Ming dipercayai diculik ketika bapanya meninggalkannya di sebuah restoran untuk mengambil barang dari kereta. Sebaik kembali ke meja makan, dia mendapati anaknya telah hilang.
Sejak itu, Ah Choy telah memfailkan 12 laporan polis, namun usaha mencari anaknya itu sia-sia.
Pada 11 Okt, Ah Choy menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani bagi menggesa polis membentuk pasukan petugas bagi menyiasat kejadian itu.
Dalam memorandum itu, Ah Choy menyatakan, dia percaya anaknya diculik oleh seorang wanita warga Indonesia bernama Nadia Kristina.