ADUN Bandau jadi calon Warisan di Kota Marudu? Belum muktamad, kata Shafie

ADUN Bandau jadi calon Warisan di Kota Marudu? Belum muktamad, kata Shafie

Semalam, Wetrom Bahanda dilaporkan akan menyertai Warisan selepas keluar Bersatu.

Presiden Warisan Shafie Apdal, berkata partinya mahu meletakkan individu yang mampu memberi kemenangan di setiap kawasan ditandingi.
KOTA KINABALU:
Warisan mengalu-alukan penyertaan ADUN Bandau Wetrom Bahanda ke parti itu sekiranya beliau berhasrat berbuat demikian, kata presidennya Shafie Apdal.

Shafie berkata, bagaimanapun keputusan meletakkan beliau sebagai calon di Kota Marudu, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) masih belum muktamad.

Beliau berkata, menyertai Warisan adalah langkah penting buat ADUN daripada Bersatu itu, manakala hal lain termasuk menjadi calon untuk Warisan akan dinilai dan dipertimbang kemudian.

“Menjadi calon ialah perkara lain…apa yang penting bagi kami ialah calon yang boleh menang, tiada gunanya meletakkan orang A, B, C, D jika anda tidak boleh menang. Pada akhirnya, kita perlu memenangi pilihan raya, kita perlukan angka.

“Maka, jika beliau (Wetrom) seorang calon yang boleh menang, apa salahnya meletakkan beliau sebagai calon. Lagi pun beliau orang Sabah, selain itu kita juga mahu menyatukan orang Sabah. Saya telah menyatakan pendirian saya untuk rakyat Sabah bersatu padu,” katanya kepada pemberita selepas sesi jelajah mesra (walkabout) di Tamu Jalan Gaya.

Dalam pada itu, Shafie turut mengulangi hasrat Warisan untuk bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam menghadapi PRU15 demi kemajuan negeri ini.

Semalam, sebuah video tular dalam media sosial yang memaparkan Wetrom mengumumkan bahawa beliau menyertai Warisan dan menjadi calon parti itu untuk kerusi Parlimen Kota Marudu pada PRU15, bagaimanapun ketika dihubungi media, Wetrom berkata, beliau akan mengadakan sidang akhbar pada Selasa atau Rabu berhubung perkara itu.

Pada PRU14, Presiden PBS Maximus Ongkili yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal Sabah dan Sarawak) memenangi kerusi Kota Marudu dengan majoriti 1,774 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.