NSRC bantu mangsa terjerat penipuan dalam talian

NSRC bantu mangsa terjerat penipuan dalam talian

Pusat itu hasil usaha sama antara NFCC, polis, BNM, SKMM, institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi.

NSRC memfokuskan kepada penipuan kewangan dalam talian, termasuk penipuan pancingan data, penipuan Macau, penipuan serangan perisian hasad, penipuan bungkusan dan penipuan cinta.
PETALING JAYA:
Kerajaan telah menubuhkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bagi menangani kes penipuan siber yang semakin meningkat di negara ini.

Pusat itu hasil usaha sama antara Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), polis, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi.

NSRC memfokuskan kepada penipuan kewangan dalam talian, termasuk penipuan pancingan data, penipuan Macau, penipuan serangan perisian hasad, penipuan bungkusan dan penipuan cinta.

FMT melihat NSRC dengan lebih dekat dan cara ia boleh membantu mangsa penipuan dalam talian dengan cepat dan berkesan.

Apa yang perlu dilakukan jika jadi mangsa penipuan

Jika anda menjadi mangsa penipuan, berikut ialah dua perkara yang perlu anda lakukan:

Pertama, hubungi talian penting 24 jam bank atau NSRC di 997, yang beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam setiap hari, termasuk cuti umum. Tindakan segera penting untuk memastikan bank dapat memintas wang yang dicuri.

Walaupun 24 jam telah berlalu selepas anda ditipu, paling tidak, anda patut melaporkannya kepada bank. Jika laporan telah dibuat dengan bank, anda tidak perlu lagi menghubungi NSRC kerana institusi kewangan tersebut akan bekerjasama secara langsung dengan pusat itu berhubung kes anda.

Bagaimanapun, jangan hubungi 977 jika akaun bank anda telah disekat. Ini mungkin berlaku kerana ia disyaki digunakan penjenayah sebagai keldai akaun.

Kedua, buat laporan polis di balai polis berhampiran supaya siasatan rasmi dapat dimulakan.

Maklumat yang perlu anda beri

Sama ada anda membuat laporan kepada bank, NSRC atau polis, pastikan anda menyediakan maklumat berikut:

  • Penerangan ringkas tentang kejadian (contohnya, kronologi peristiwa);
    Butiran peribadi anda (nama, nombor telefon, nombor kad pengenalan, nombor akaun bank);
  • Butiran penipu (nama, nombor dihubungi);
  • Butiran transaksi (bilangan akaun bank yang terlibat, jumlah, masa pemindahan).
  • Anda juga harus bersedia untuk membekalkan bahan bukti kepada pihak berkuasa, seperti tangkap layar perbualan dengan penipu.

Penting untuk diambil perhatian bahawa NSRC, pihak berkuasa berkaitan dan institusi kewangan tidak akan menghubungi anda untuk meminta butiran perbankan peribadi, seperti kata laluan, nombor pengenalan peribadi (PIN), kod kebenaran transaksi (TAC) atau kata laluan sekali (OTP) anda.

Apa yang boleh dijangkakan selepas laporan dibuat

Selepas laporan polis dibuat, pegawai penyiasat yang ditugaskan akan memberikan butiran hubungan mereka kepada anda. Mereka juga boleh meminta maklumat tambahan untuk memudahkan siasatan.

Anda juga boleh mengikuti susulan status kes anda dengan menyemak https://sso.rmp.gov.my/ atau menghubungi pegawai penyiasat yang ditugaskan.

Walaupun tiada jaminan bahawa NSRC akan dapat memudahkan pemulangan setiap sen yang hilang dalam penipuan, tindakan pantas boleh membantu meminimumkan kerugian. Penting untuk kita mengetahui jenis penipuan di sekeliling kita dan segera melaporkannya jika berlaku.

Maklumat lanjut mengenai NSRC boleh didapati di sini .

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.