
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan jawapan beliau kepada soalan yang dikemukakan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) pada sidang Dewan Rakyat 6 Okt lepas berhubung isu pertikaian timbang tara tuntutan Sulu, yang menurutnya ialah tuntutan persendirian dan tidak ada kena mengena dengan soal kedaulatan.
“Sebagai penjelasan kepada jawapan saya mengenai persoalan sama ada Sabah berkemungkinan menjadi sebahagian daripada Filipina susulan keputusan pengisytiharan di mahkamah Paris, ingin saya tegaskan bahawa situasi ini tidak akan berlaku.
“Sabah tidak akan diserahkan atau berada bawah pentadbiran Filipina dan kerajaan persekutuan akan terus mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahkamah timbang tara di Paris menganugerahkan pihak menuntut Sulu sejumlah US$14.92 bilion (kira-kira RM70 bilion) pada 28 Feb 2022.
“Apabila saya menyatakan bahawa pengisytiharan keputusan mahkamah Paris tersebut merupakan ‘tuntutan peribadi’, ia merujuk kepada tuntutan yang dibuat oleh individu persendirian (pihak yang mendakwa kumpulan Sulu) dan bukan tuntutan oleh kerajaan Filipina.
“Selanjutnya, apabila saya menyatakan bahawa tuntutan Sulu dan pengisytiharan keputusan Mahkamah Paris tidak ada kena mengena dengan soal kedaulatan, kenyataan tersebut merujuk kepada konteks kedaulatan wilayah – sama ada wujud kemungkinan Sabah diserahkan kepada Filipina,” katanya.
Wan Junaidi berkata, tuntutan itu adalah provokasi dan pelanggaran ke atas kedaulatan serta kepentingan ekonomi Malaysia di peringkat antarabangsa.
Pada masa ini, pihak berkenaan sedang menggunakan proses timbang tara, iaitu mekanisme undang-undang antarabangsa persendirian, untuk menyerang kepentingan kedaulatan Malaysia di luar negara, katanya.